DAP Gesa PM Olah Tatacara Pakaian Pejabat-Pejabat Kerajaan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 08 Februari 2023 – ADUN DAP Johor menggesa agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula tatacara pemakaian pelawat di pejabat-pejabat Kerajaan.
Gesaan itu adalah susulan daripada laporan yang menyatakan seorang wanita dilarang untuk memasuki balai polis di Kajang kerana didakwa memakai seluar pendek yang tidak menutupi lutut.
Menerusi sepucuk surat kepada Perdana Menteri, ADUN tersebut, Chew Chong Sin yang juga ADUN Mengkibol itu berkata, tindakan pihak polis itu bertentangan dengan Seksyen 107(4) Kanun Tatacara Jenayah.
BACA JUGA: Gempa Turkiye-Syria: Lebih 21 NGO Malaysia-Indonesia Sasar Kutipan Bantuan RM3 Juta
BACA JUGA: Adun DAP, Timbalan Speaker DUN Pahang Disaman Polis Langgar Undang-undang Jalanraya
BACA JUGA: Bekas Ahli UMNO Masuk PH, Zahid Tegas Belum Ada Perbincangan
Memetik kepada seksyen tersebut, kata beliau pegawai adalah “terikat dengan tanggungjawab” untuk menerima sebarang maklumat mahupun laporan yang berkaitan dengan sebarang kesalahan yang dilakukan di Malaysia.
Dalam situasi yang berlainan, beliau turut mengatakan keadaan tersebut turut berlaku di hospital apabila terdapat juga saudara mara yang dilarang untuk menghadiri urusan kecemasan disebabkan pemakaian mereka.
“Perlu ada pengecualian untuk kes penting dan kecemasan, seperti di balai polis dan hospital.”
“Kami harap anda boleh mempertimbangkan permintaan ini bagi memudahkan urusan rakyat,” ujarnya.
Malah, beliau turut menambah bahawa pegawai yang bertugas seharusnya mengamalkan sifat berbudi bicara di samping mempunyai rasa empati yang tinggi.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata semua ketua jabatan seharusnya mempunyai budi bicara bagi menentukan etika berpakaian di pejabat Kerajaan.