Tempatan

Ulang Tahun ICERD: Kekuatan Melayu Jangan Jatuh Sekali Lagi – Hj Aminuddin Yahaya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 15 Disember 2021 – Haji Aminuddin Yahaya berkata, kebangkitan Himpunan Aman Bantah Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) itu sebenarnya lahir daripada kerisauan rakyat umumnya tentang kerajaan ketika itu untuk merealisasikan ICERD.

“Kita tahu apa yang ada di dalam ICERD itu ialah untuk membenarkan antaranya hak kebebasan menukar agama. Jadi itu telah menyentuh perkara yang fundamental untuk umat Islam di negara ini.”

Himpunan itu sebenarnya adalah klimaks rentetan banyak perkara dan tindakan-tindakan oleh kerajaan ketika itu yang telah menyentuh hati, hak orang Melayu dan orang Islam.

“Jadi perhimpunan itu semacam klimaks di atas kegusaran rakyat terhadap tindakan-tindakan kerajaan seperti untuk memperkasakan UEC, menaikkan bahasa-bahasa selain Bahasa Melayu ketika itu, penggunaan Bahasa Cina dalam surat rasmi kerajaan dan pelbagai lagilah termasuklah cubaan untuk menidakkan atau pun memberhentikan bantuan kepada peniaga-peniaga kecil dan berbagai-bagai lagi isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.”

Menyentuh mengenai Muafakat Nasional (MN), Haji Aminuddin menyatakan bahawa gabungan yang dicetuskan hasil daripada Piagam Muafakat Nasional dalam Himpunan 812 pada 2018 itu sebenarnya tidak kuat.

“Saya tengok gabungan Muafakat Nasional (MN) ini tidak kuat. Kejelasan dan perkara asas itu dilihat tidak ditekankan sangat sebagai dapat menyatukan kedua-dua parti sebab ideologinya sangat jauh berbeza, hanya untuk sekadar penyatuan sentimen pada ketika itulah.”

“Apabila sentimen itu habis, itu yang jadi huru-hara semula, tetapi sentimen ini bagi orang politik mereka boleh buat semula, bercerai bersatu adalah perkara biasa dalam politik,” kata beliau.

Apa yang menjadi persoalan sekarang adalah bagaimana kita mahu membawa perubahan besar kepada masyarakat Melayu Islam pada masa hadapan.

Jelas Pengerusi PEMBELA itu, yang penting sekarang ini adalah semua parti Melayu Islam perlu bersetuju dengan satu prinsip iaitu perkara-perkara asas berkenaan agama Islam dan Melayu mesti dipersetujui.

“Jangan ada yang nak sebut tentang Perkara 45(3), jangan ada yang nak cabar Bahasa Melayu, Tanah Rizab Melayu, misalnya isu di Kampung Baru dan macam-macam perkara yang berkaitan dengan bangsa Melayu dan Islam.”

Maknanya, kalau undi semua kena angkat tangan tidak kira pembangkang atau blok kerajaan sekalipun perlu bersetuju dengan perkara yang melibatkan Melayu dan Islam.

Tambah beliau lagi, selain itu, perlu digariskan sepuluh atau dua puluh perkara-perkara asas yang menjaga kepentingan Melayu dan Islam selaku kaum majoriti daripada segi sosio ekonomi dan sebagainya.

“Kita daripada awal lagi bergerak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dalam perundangan negara.”

“Kita bukan anti kaum lain, bukan anti bangsa lain bukan kita nak menghapuskan. Kita ini orang Melayu sudah sangat baik cuma kita mahu kerajaan memberi perhatian yang lebih sedikit.”

Dalam masa yang sama, Tindakan Formatif (Formative Action) yang dibuat oleh Tunku Abdul Razak perlu diberi semula nafas baru dan diaktifkan semula. Satu pelan yang memberi penekanan dan penumpuan kepada golongan yang terpinggir, miskin terutamanya orang Melayu.

Justeru, “Saya berharap tidaklah sampai kekuatan orang Melayu Islam ini jatuh sekali lagi. Kalau sampai begitu rupa memang terlalu haprak sungguhlah kerajaan ini.”

“Belajarlah dari sejarah. Tetapi kalau sudah tidak ada pilihan lagi dan terlalu susah sangat mungkin akan jadi seperti Arab Spring dan sebagainya, berulang sejarah 13 Mei dan sebagainya masa itu, kalau baru nak ambil tindakan bagi saya itu sudah agak terlambat,” kata beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: