Politik

DAP Bukan Parti Ekstrem. Kalau Tidak, Saya Tidak Masuk DAP – Izmil Amri

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 10 April 2021 – “DAP adalah sebuah parti berbilang bangsa yang tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Kalau tidak, saya tidaklah masuk DAP,” kata Izmil Amri, seorang penulis dan pemerhati politik dalam sebuah portal tempatan baru-baru ini.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi membidas kenyataan mantan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan DAP sebagai parti ekstrem yang hanya berkhidmat untuk satu komuniti.

“Ya, memang dalam DAP ramai orang Cina. Ia tidak perlu kita nafikan. Puncanya ialah kerana DAP lahir daripada keperluan rakyat terpinggir yang tidak diwakili tauke-tauke yang menyertai MCA, atau anak-anak raja dan orang berada yang menjadi ahli UMNO,” ujar Izmil lagi.

Katanya lagi, mungkin dari sudut pandang Tun Dr Mahathir ketika dalam kerajaan dulu, pimpinan DAP banyak bekerja dalam kerangka menjaga kepentingan minoriti bukan Melayu.

Namun, DAP tidak boleh disalahkan kerana Malaysia masih lagi mengekalkan amalan pecah perintah politik territorial seperti amalan BN yang menyusup ke dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Nak salahkan mereka semata-mata pun tidak boleh juga kerana sebagai sebuah negara kita masih lagi mengekalkan amalan pecah perintah politik teritorial yang memaksakan pemimpin Melayu menjaga kepentingan Melayu, pemimpin yang Cina menjaga kepentingan orang Cina, dan seterusnya.”

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menolak kenyataan Tun Dr Mahathir ini.

“DAP tidak pernah diskriminasi atau mengambil tindakan tidak selaras dengan hak dan kepentingan rakyat Malaysia, sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam.”

“Pemimpin DAP ramai yang pernah dipenjarakan kerana mempertahankan hak kedua-duanya, Melayu dan bukan Melayu,” tegas Lim Guan Eng lagi.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin sebelum ini mendakwa, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkasakan undang-undang Syariah dan memperkenalkan undang-undang baharu menyekat penyebaran agama lain terhadap orang Islam sebagai satu tindakan mundur untuk perpaduan di Malaysia.

“Untuk mengubah Perlembagaan Malaysia kita menjadi sesuatu yang tidak seperti apa yang dimaksudkan oleh bapa pengasas negara kita akan menjadi pengkhianatan besar bagi mereka. Adalah mustahak bagi pemimpin UMNO seperti Zahid untuk membaca Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) mengenai Persekutuan yang diusulkan, dan dia akan menyedari bahawa kebebasan beragama adalah salah satu tonggak utama dalam penubuhan Persekutuan Malaysia tercinta ini.”

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button