NGO

Dakwah Tempat Judi: Peranan NGO Bukan Kerajaan – Hj Aminuddin Yahaya

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELASA, 31 Mei 2022 – “Usaha-usaha dakwah sebegini adalah peranan badan-badan NGO bukan Kerajaan yang punyai kuasa. Atas dasar itu PEMBELA sering menekankan keperluan kerjasama yang erat antara pihak kerajaan dan NGO.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Hj Aminuddin Yahaya melalui laman sosial Facebook miliknya beberapa hari lalu susulan daripada kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengenai pendekatan baharu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadap penjudi-penjudi yang beragama Islam di negara ini.

“Pendekatan ini perlu kerana kita memerlukan strategi dakwah baharu yang mampu menyelesaikan masalah terbabit,” kata menteri itu ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sebuah hotel di Bangi pada Isnin lalu.

Menurut Pengerusi PEMBELA itu, Datuk Idris Ahmad telah mengarahkan JAWI agar menempatkan pegawai bagi melakukan pemantauan serta memberi nasihat terus kepada umat Islam yang memasuki premis judi sebagai strategi dakwah yang baharu.

“Pendekatan ini dikatakan akan diuji selama sebulan,” ujar beliau.

Secara umumnya, beliau berpandangan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh YB Menteri tersebut adalah sesuatu yang baik kerana berusaha untuk menyedarkan umat Islam daripada melakukan perkara maksiat tersebut. Namun yang demikian, usaha dakwah sebegini adalah peranan NGO bukan Kerajaan yang punyai kuasa.

Dan selaku pihak yang mempunyai kuasa, Kerajaan seharusnya bertindak lebih tegas lagi iaitu dengan menutup terus pusat-pusat perjudian dan pusat-pusat maksiat yang terang-terang merugikan seluruh masyarakat.

“Kita bimbang, jika Kerajaan hanya sekadar memainkan peranan berdakwah tanpa menutup atau mengenakan tindakan yang tegas kepada pusat-pusat perjudian ini, maka kuasa yang ada pada pihak Kerajaan tidak akan bermakna apa-apa.”

Menutup kenyataan itu, Hj Aminuddin mengingatkan pihak pemerintah mengenai kedudukan dan jawatan yang mereka pegang serta tampuk kuasa yang dimiliki pada ketika ini merupakan amanah Allah SWT.

“Jangan disebabkan kita terlalu ingin menyantuni pihak-pihak tertentu kita tidak melaksanakan amanah yang besar ini,” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: