Tempatan

Dakwaan Tawfik Ismail Kepada JAKIM Adalah Jumud Dan Terlampau Merendah-Rendahkan Badan-Badan Agama – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2022 – Haniff Khatri, seorang pengamal undang-undang terkemuka turut mengkritik mantan ahli G25 Tawfik Ismail yang mendakwa JAKIM tiada sebarang kuasa Perlembagaan sebagai jumud dan terlampau fikir diri sendiri serta terlampau merendah-rendahkan badan-badan agama.

Ujarnya, memang pada dasarnya isu Agama Islam adalah bidang kuasa mutlak Negeri-Negeri bukan bawah Pusat. Ia di bawah Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

BACA: KP Kesihatan Sahkan Berlaku Kes Radang Jantung Selepas Vaksin

BACA: Kes Sejumlah Banduan Kajang Mati Lepas Dos Ketiga, PPIM Tuntut Penjelasan

BACA: Dos Penggalak Mungkin Bawa Penderitaan: “Istikharah Dahulu” – Mufti Perlis

Tetapi pada tahun 2013 secara khususnya 14 Oktober 2013,Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur yang dikenali sebagai kes kalimah Allah, dalam keputusan yang diberikan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah membuat keputusan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan di bawah Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

Maka dengan itu, ianya menjadi tanggungjawab kesemua pihak dan cabang kerajaan untuk menegakkan dan membantu mengukuhkan kedudukan agama Islam iaitu termasuk dan tidak terhad kepada Kerajaan Pusat, agensi-agensi Kerajaan Pusat ataupun Negeri, kementerian-kementerian dan semua pihak supaya pematuhan dilakukan kepada Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi Tawfik Ismail kena faham memang bidang kuasa isu Islam adalah di bawah kuasa Negeri-Negeri, tetapi ini tidak bermakna bahawa Pusat tidak mempunyai tanggungjawab memandangkan Perkara 3(1) mengatakan Islam adalah Agama Persekutuan.”

Jadi berpandukan kepada kes Mahkamah Rayuan yang telah mengesahkan tanggungjawab semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Parlimen, Mahkamah dan agensi-agensi lain untuk menegakkan kedudukan agama Islam, bermaksud
mewujudkan JAKIM oleh Kerajaan Persekutuan adalah untuk membantu Kerajaan Persekutuan memilih, melihat, meneliti dan menganalisa serta membuat termasuk merangka apa-apa program supaya agama Islam di bawah Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan dipelihara dan diperkukuhkan.

“Tawfik Ismail kena faham, jangan baca satu bahagian saja, baca keseluruhan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Persoalan adakah JAKIM menjadi lebih berpengaruh dan berkuasa dari yang sepatutnya kerana jabatan itu digunakan sebagai alat politik oleh ahli-ahli politik seperti dakwaan Tawfik, Haniff berkata,

“Secara mudahnya, mana-mana agensi kerajaan sama ada agensi urus tadbir atau agensi perlaksana undang-undang seperti SPRM tidak boleh, malahan, haram untuk dipergunakan sebagai alat politik oleh ahli-ahli politik.”

“Jadi kalau ada kes dipergunakan oleh mana-mana ahli politik, itu salah dan itu tidak bermakna JAKIM yang wajar dituduh atau dihukum,” kata Haniff.

Tambahnya, itu bermakna ahli politik tersebut wajib diambil tindakan. Pegawai Kerajaan berkenaan wajib dihentikan, wajib dibuang kerana telah menyalahgunakan agensi Persekutuan.

“Jangan salahkan JAKIM sebaliknya salahkan individu di belakang semua agensi!” tegas peguam itu.

Kata Haniff lagi, “Tawfik pun tahu, SPRM, PDRM, Kastam, Imigresen, MOF, Kementerian Pendidikan dan semua pun ada contoh-contoh di mana ahli-ahli politik akan, telah dan masih menyalahgunakan kuasa. Adakah nak tutup semua jabatan-jabatan ini?”

Jadi, jangan salahkan JAKIM seolah-olah memandangkan JAKIM adalah orang Islam, Melayu majoritinya maksudnya mereka ini kononnya tidak berkebolehan.

Maksudnya, mereka ini tak boleh nak halang orang lain daripada campur tangan politik. Bukannya mereka tak boleh halang, mereka halang pun orang politik masih akan buat benda jahat sebab itu mentaliti politik Malaysia dan masyarakat Malaysia.

Tawfik turut mendakwa bahawa Menteri Agama yang menjaga JAKIM langsung tidak mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan.

Haniff menjelaskan bahawa, “Menteri Agama yang diadakan di bawah kementerian dan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri- Perdana Menteri terdahulu sampai sekarang, bagi saya melaksanakan tanggungjawab kerajaan seperti mana yang disahkan oleh Kes Kalimah Allah di Mahkamah Rayuan itu.”

Dengan adanya Menteri Agama sebagai salah seorang Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, maka beliaulah yang bertanggungjawab dengan badan-badan seperti JAKIM untuk memberi cadangan dan saranan berkaitan kedudukan Islam di bawah Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan dan boleh dilaksanakan oleh kerajaan cadangan dan saranan itu sebagai polisi jika berpadanan dan bertepatan dalam keadaan-keadaan tertentu.

“Jadi bagi saya, bukan soal Menteri Agama mempunyai kuasa ataupun mempunyai pengaruh, ia diletakkan di situ sama seperti menteri-menteri diletakkan dari kementerian lain.”

Adakah kita nak katakan Menteri Pendidikan berkuasa lebih daripada Menteri Kewangan ataupun Menteri Pertahanan lebih berkuasa dari Menteri Luar Negara, itu bukanlah soalnya.

Mereka mempunyai peranan masing-masing dan yang paling penting jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab, tambah Haniff.

Kalau mereka salahgunakan kuasa seperti pernah ada aduan berkaitan dengan Jamil Khir, maka tindakan wajib diambil tentang penyalahgunaan kuasa oleh menteri, walaupun dia Menteri Agama sekalipun.

Ditanya perlukah JAKIM dibubarkan terus seperti dakwaan Tawfik Ismail, Haniff menegaskan bahawa beliau langsung tidak bersetuju dengan dakwaan itu.

“Sebabnya walaupun JAKIM ditubuh sebelum dari 2013 sebelum dari kes Mahkamah Rayuan Kalimah Allah, tetapi dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut mengesahkan keperluan badan seperti JAKIM dikekalkan seperti yang saya nyatakan tadi.”

Walaupun kuasa Islam adalah pada setiap negeri, tetapi ada juga keadaan-keadaan yang meminta supaya Negeri-Negeri boleh bersatu hati dalam keadaan-keadaan tertentu contoh untuk keputusan-keputusan Mahkamah Syariah, mengambil langkah untuk mewujudkan Mahkamah Tertinggi Syariah Malaysia.

Sekarang ini, kadang-kadang ada perbezaan keputusan Mahkamah Syariah antara satu negeri dengan satu negeri yang lain dan cadangan ini mengesyorkan supaya Negeri-Negeri dapat bersatu dalam mewujudkan satu Mahkamah Tertinggi Syariah Malaysia.

Ada cadangan, boleh atau tidak Majlis Raja-Raja bersidang untuk mengadakan atau meletakkan kuasa setiap Sultan dan Raja-Raja masing-masing berkaitan isu Mahkamah Tertinggi Syariah Malaysia supaya diadakan di bawah Pusat dan diiktiraf di setiap negeri sebagai Mahkamah Tertinggi mengikut negeri masing-masing supaya kita ada satu Mahkamah Syariah yang terulung.

Cadangan ini adalah berdasarkan keadaan yang wujud di Malaysia berkaitan keputusan mahkamah-mahkamah sivil, sepertimana dulu sebelum tahun 1990-an, rayuan tertinggi di Mahkamah Sivil Malaysia adalah rayuan ke Majlis Privi di England.

Jadi walaupun kuasa urus tadbir Malaysia adalah di bawah kerajaan Malaysia, undang-undang Malaysia diurustadbir di Mahkamah Malaysia, tetapi untuk keputusan Mahkamah Tertinggi, kita pergi ke rayuan Majlis Privi pada masa itu, kalau kita masih ingat.

Di sini juga walaupun urus tadbir agama Islam adalah pada semua negeri masing-masing, tidak ada masalah jika Raja-Raja dan Sultan-Sultan dan YDPA bersetuju dengan cadangan ini dalam mesyuarat mereka.

Maka JAKIM sebagai badan pusat diperlukan untuk merungkai dan membawa cadangan seperti kewujudan Mahkamah Tertinggi Syariah Malaysia tersebut.

Dan apakah tujuan dibangkitkan perkara ini dalam keadaan itu, JAKIM lah badan terbaik untuk membuat kajian dan membuat analisa memberi saranan dan pandangan struktur Mahkamah Tertinggi Syariah Malaysia itu.

Sebaliknya sebagai satu badan Pusat, bukan badan Negeri dan boleh bekerjasama dengan Majlis Raja-Raja untuk menentukan supaya dapat direalisasikan sebagai satu Mahkamah Teragung Syariah di Malaysia.

Jadi banyak peranan JAKIM boleh buat, cuma kalau rakyat Malaysia, boleh buka minda dan fikiran untuk faham, itu yang penting.

Tetapi masalahnya seperti yang saya katakan, jumud dan terlampau fikir diri sendiri dan terlampau merendah-rendahkan badan-badan agama, itu yang merosakkan tujuan dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Saya tahu ada badan-badan agama yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan tak berani, tetapi itu bukan salah badan.

Itu salah pemimpin yang diletakkan dalam badan itu. Maka pemimpinlah yang patut dibuang bukan JAKIM, tegas beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button