Dakwaan Rumah Penduduk Bakal Diroboh Untuk Projek ECRL, MRL Jamin Pelaksanaan Adil – MRL
KUALA LUMPUR, 31 Julai 2023 – “Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil maklum keresahan para pemilik dan penduduk Taman Sungai Sireh melalui portal berita dan laman media sosial baru-baru ini yang beranggapan bahawa rumah mereka akan dirobohkan dengan sewenang-wenangnya bagi memudahkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).”
“Namun, pihak MRL ingin menjelaskan bahawa proses pengambilan tanah di kawasan yang terlibat hanya akan berlaku setelah semua proses mengikut prosedur undang-undang yang dilaksanakan, bertetapan dengan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960,” kata Malaysia Rail Link (MRL) dalam satu kenyataan baru-baru ini.
BACA JUGA: Purata Pendapatan Isi Rumah Rakyat Malaysia Naik Kepada RM8,479 Pada 2022
BACA JUGA: Tenaga Kerja Dipindahkan KKM, Hospital Selayang Dilaporkan Kekurangan Staff
BACA JUGA: Hukuman Sebat Jatuhkan Maruah, Kumpulan Sivil Tuntut Mansuhkan
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab bantahan dan kegusaran pemilik dan penghuni di Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, dalam isu pelaksanaan projek ECRL di kawasan mereka.
Kata MRL lagi, pihaknya juga ingin menyatakan bahawa proses pengambilan tanah di Taman Sungai Sireh untuk Projek ECRL akan mengambil kira pelbagai aspek dan memastikan prosedur yang adil kepada semua pihak yang terlibat.
Dalam masa sama, MRL turut mengingatkan penduduk agar tidak terpedaya dengan spekulasi dan berita palsu mengenai tawaran pampasan yang rendah.
“Penilaian tanah akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan bayaran pampasan akan ditentukan oleh Pentadbir Tanah yang dikendalikan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor (JKPTG).”
“MRL menyeru pemilik dan penghuni untuk tidak terpedaya dengan spekulasi dan berita palsu di media sosial mengenai tawaran pampasan yang rendah.”
“MRL akan memberi maklumat mengenai status pengambilan tanah kepada pemilik dan penghuni yang terkesan dari semasa ke semasa,” kata syarikat itu lagi.