Dakwaan Gangguan Seksual Di Hospital Serdang Menakutkan – Boo Su-Lyn
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Mei 2022 – Dakwaan-dakwaan gangguan seksual di Hospital Serdang ini menakutkan,” kata Boo Su-Lyn dalam laman Twitternya.
Berkongsikan laporan-laporan gangguan seksual yang dimuat naik oleh Twitter HartalDoktorKontrak, Boo Su-Lyn yang juga Ketua Editor Code Blue menegaskan bahawa pasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesti mengambil tindakan terhadap pelaku gangguan seksual dan buli di tempat kerja.
Antara laporan-laporan yang didedahkan adalah gangguan seksual dan buli yang dilakukan oleh seorang pegawai perubatan (MO) di Jabatan Pembedahan terhadap doktor di jabatan itu.
Pengadu, seorang MO menceritakan gangguan seksual yang dihadapinya sewaktu ditempatkan di jabatan itu.
“Terdapat seorang MO yang bernama Dr S. Pakar menempatkannya untuk menjaga HO untuk offtag. Sewaktu posting, saya ditugaskan offtag selama 17 hari dengan 2 hari cuti, setiap hari bekerja dari pukul 6am – 11pm saya tak langsung tak ada masa untuk makan/minum/rehat.”
“Waktu lain, pada Hari Raya Aidilfitri 2021, apabila saya memilih untuk bekerja pada shift malam pada hari raya (dia bertugas pada hari itu) dan menyoal mengapa saya tidak memohon cuti. Saya cakap sebab suami tak dapat cuti hari itu (suami juga HO pada waktu itu). Dia cakap saya ‘lurus’, ‘suka sangat ikut husband punya jadual’ dan suruh saya jangan percaya sangat dengan suami.”
“Kemudian dia tanya kenapa kami terus kahwin lepas habis belajar dan cakap, ‘sangap sangat ke? Korang dua sangap sangat nak kahwin?’ Dua tiga kali dia sebut perkataan sangap,” lapor pengadu.
Kejadian seperti ini juga dilaporkan berlaku di Jabatan Ortopedik Hospital Sultanah Bahiyah.
“Seorang lagi MO selalu cakap dekat saya gaya jalan saya ‘buat lelaki lemah iman’ dan bila saya nafikan dan cuba lawan, dia gelak dan cakap ‘pergi tanya MO lain, mereka akan cakap benda sama’,” lapor seorang doktor di hospital tersebut.
Kata Boo Su-Lyn, perkara ini langsung tidak dapat diterima.
“KKM tidak boleh membiarkan tingkah laku tercela itu berterusan,” tegas Boo Su-Lyn.