Tempatan

Dakwaan Cek ‘Tidak Halal’ Natijah Benci Melayu Islam – CEO ACCIN

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 31 Disember 2021 – Tuan Haji Ir Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin, CEO Gabungan Perikatan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) mempersoalkan apa niat mereka yang menuduh Bank Muamalat dengan andaian tidak menerima cek yang diberi kerana ‘tidak halal’.

“Saya diminta memberi komen oleh wartawan tentang isu berkenaan sebelum ini tetapi saya tidak memberi sebarang komen kerana dakwaan itu bagi saya tak masuk akal,” ujar beliau.

“Andaian saya mesti ada isu teknikal yang menolak cek tersebut. Betul pun, wakil Bank Muamalat kata, ia isu teknikal nama persatuan yang tidak sama dengan nama dalam akaun.”

“Disebabkan itu yang membuatkan saya tertanya-tanya apa niat mereka terus menuduh tanpa usul periksa selain hanya untuk memburukkan dan mempersendakan hukum agama Islam,” kata Tuan Haji Ir Mohd Jamaludin.

Beliau berpendapat, perkara ini timbul hasil daripada natijah niat benci dan prejudis (Islamophob) terhadap orang Melayu Islam.

“Kemungkinan juga ia ditimbulkan dek kerana sifat bodoh sombong dan jahil.”

Ujarnya, istilah cek tidak halal tidak wujud daripada sudut muamalat.

“Dari sudut muamalat, cek tidak halal tidak ada. Namun duit haram yang diperolehi secara haram memang ada.”

“Duit haram pun kalau masuk bank, diterima kecuali ada campur tangan dari badan kuat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tambah beliau.

Berikutan itu, Tuan Haji Ir Mohd Jamaludin meminta Kementerian Perpaduan Negara dan Polis Diraja Malaysia untuk bertindak segera dengan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Kementerian Perpaduan dan PDRM patut bertindak segera. Kalau tidak, kenyataan seperti ini akan terus berlaku dan nescaya akan turut merosakkan usaha-usaha murni masyarakat sivil, pimpinan agama dan pihak berkuasa ke arah keharmonian dan persefahaman di antara kaum.”

Sebelum mengakhiri kenyataan, beliau sekali lagi mengulangi seruan agar kerajaan menubuhkan
Badan Kenyataan Benci (Hate Speech Commision) bagi menangani isu-isu seumpama ini.

“Disebabkan perkara seperti inilah ACCIN sebelum ini, telah menyeru kerajaan menubuhkan Badan Kenyataan Benci (Hate Speech Commision) untuk menangani isu-isu seumpama ini,” ujar Tuan Haji Ir Mohd Jamaludin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: