Dakwa Mahkamah Tergesa-Gesa, Najib Fail Petisyen Pembebasan & Perbicaraan Semula
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 06 Januari 2023 – Susulan dakwaan keputusan Mahkamah Persekutuan tergesa-gesa, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan petisyen terhadap Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi memohon pembebasan dan perbicaraan semula kesnya di mahkamah.
Peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, UNWGAD yang terdiri daripada lima hakim hak asasi manusia akan meneliti petisyen itu, di mana mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil atau tidak.
BACA JUGA: Mahkamah Tolak Permohonan Peguam Utama Najib Untuk Tarik Diri
BACA JUGA: Pengampunan Diraja: Agong Bertindak Mengikut Nasihat Lembaga Pengampunan
Walaupun keputusan ini tidak mengikat secara langsung, ia sangat berpengaruh terutamanya kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan terkenal yang kini menjadi ahli kumpulan berkenaan, jelas beliau yang juga memaklumkan bahawa keputusan tersebut dijangka diperoleh dalam beberapa bulan.
Sekiranya didapati tidak adil, maka Najib Razak boleh meminta Kerajaan membebaskannya atau memberikan perbicaraan semula, jelas beliau.
Mengulas lanjut berkenaan perjalanan kes tersebut, Tan Sri Muhammad Shafee mendakwa keputusan yang telah disabitkan ke atas Najib Razak mempunyai kecacatan dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.
“Prosiding Mahkamah Persekutuan menafikan hak dengan tidak memberi masa mencukupi kepada peguam bela untuk membuat persediaan dan menghujahkan rayuan terhadap hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib.”
Beliau merujuk kepada peguam Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik pada 21 Julai lalu yang memohon mahkamah menangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama baru dibuat dan ianya membabitkan dokumen yang banyak iaitu sebanyak 179 jilid dan keterangan saksi yang ramai, namun permohonan penangguhan itu ditolak oleh panel lima hakim.
“Disebabkan keputusan tergesa-gesa oleh mahkamah itu, anak guam kami dihantar ke penjara tanpa peluang membela diri,” kata Tan Sri Muhammad Shafee.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.