Tempatan

Daging Lembu Dijangkiti LSD Boleh Dimakan – Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PUTRAJAYA, 28 Jun 2021 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menyatakan, daging ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna.

“Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada secara langsung atau melalui daging,” kata DVS dalam satu kenyataan semalam.

“Daging ternakan yang dijangkiti boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna kerana virus LSD akan musnah pada suhu 65 darjah Celcius selama 30 minit.”

Dalam kenyataan sama, DVS menegaskan, semua lembu atau kerbau dijangkiti LSD diwajibkan disembelih di rumah sembelih jabatan dan perlu melalui pemeriksaan veterinar oleh pemeriksa daging jabatan, sebagaimana peruntukan Kaedah-kaedah Pemeriksaan Daging 1985, bagi memastikan daging tersebut sesuai dijual dan dipasarkan sebagai makanan manusia.

“Sekiranya terdapat lesi (nodular) pada karkas atau daging dan organ dalaman, maka daging akan dilupuskan sepenuhnya berdasarkan prosedur operasi standard Pelupusan Karkas Haiwan Berjangkit. Bagaimanapun, lesi penyakit LSD (nodular) kebiasaannya hanya terdapat pada lapisan kulit ternakan,” kata DVS lagi.

LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit.

Wabak LSD mula dikesan menyerang ternakan lembu di daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor sejak awal Jun ini.

Leave a Reply

Back to top button