Curi Air, Kilang Besi Berdepan Denda Dan Hukuman Penjara
PONTIAN, 09 Ogos 2022 – Sebuah kilang besi diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana disyaki melakukan penyambungan saluran paip air secara tidak sah.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak SPAN, serbuan dilakukan oleh pihaknya dengan kerjasama pihak Ranhill Syarikat Air Johor (RSAJ).
“Hasil pemeriksaan terperinci, pihak SPAN mendapati bahawa terdapat penyambungan ‘Tee Paip HDPE bersaiz 25mm’ yang dipasang secara terus tanpa melalui meter air RSAJ yang disyaki dibuat oleh penghuni tapak terbabit.”
BACA JUGA: ‘Konsert LGBT’: The 1975 Diberi Notis Tuntutan Bayar RM12.3 Juta Dalam 7 Hari – Peguam
BACA JUGA: 18 Juta Pelancong Asing Dijangka Melawat Malaysia Tahun Ini
BACA JUGA: Tiada Cuti Khas Di Pulau Pinang 12 Ogos Ini
Jelas SPAN, penyambungan ini menyalahi undang-undang kerana penyambungan tersebut dibuat secara terus pada paip perkhidmatan milik RSAJ tanpa melalui meter air sah RSAJ.
“Air dari sambungan tidak sah tersebut juga didapati menuju masuk ke dalam premis tersebut disyaki bagi kegunaan aktiviti harian di premis terbabit.”
“Hasil ujian teknikal dan ujian klorin yang dilaksanakan di lokasi serbuan tersebut turut mengesahkan bahawa bekalan air yang diguna di premis berkenaan adalah dari sumber air terawat milik Ranhill SAJ.”
Justeru, SPAN telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan tindakan pemotongan bekalan air yang tidak sah tersebut telah dilakukan.
Tegas SPAN, kes ini disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.