Culik Warga Palestin: Keterlibatan Mossad Belum Dapat Disahkan – Polis
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2022 – Polis Kuala Lumpur memaklumkan siasatan awal pihaknya setakat ini tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad dalam kes penculikan warga Palestin di ibu negara pada 28 September lalu.
“Kita tidak dapat mengesahkan lagi adanya pembabitan agensi perisikan luar terbabit dalam kes penculikan ini,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.
Jelasnya, siasatan sedang berjalan dan pihaknya masih belum dapat mengesahkan kebenaran laporan termasuklah dakwaan pembabitan warga tempatan dalam kes berkenaan.
“Saya tak boleh nak mengesahkan sama ada laporan itu benar atau tidak sebab siasatan masih berjalan,” katanya.
Mengulas lanjut, spekulasi yang timbul berhubung agensi yang dinyatakan (Mossad), sedikit sebanyak mengganggu siasatan.
Dalam masa yang sama, Azmi mengakui pihaknya sedar terdapat penularan berhubung identiti saksi dalam kes penculikan warga Palestin terbabit.
Namun, katanya tiada sebarang laporan diterima.