Tempatan

Culik Kanak-Kanak: Lazimnya Untuk Wang Tebusan Atau Dijadikan Mangsa Seksual-Tan Sri Musa Hassan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

Menurut Tan Sri Musa Hassan kes penculikan kanak-kanak yang berlaku di negara ini lazimnya bermotifkan wang tebusan atau mangsa bakal dijual kepada sindiket yang menggunakan kanak-kanak dalam menjalankan kegiatan haram mereka.

Selalunya, penculik akan mengambil inisiatif untuk meminta wang tebusan sekiranya ibu bapa mangsa tergolong dalam golongan kaya ataupun yang berada, jelas beliau.

“Sekiranya, penculikan itu dilakukan secara rambang tanpa mengira latar belakang ibu bapa mangsa, barangkali mangsa akan dijual kepada mana-mana sindiket yang memerlukan kanak-kanak untuk dijadikan alat dalam menjalankan kegiatan haram mereka.”

“Tetapi penculikan kanak-kanak bagi tujuan menjual organ itu saya tak menerima makluman lagi setakat ini,”ujarnya lagi.

Jelasnya, mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, sesiapa yang menculik mana-mana individu keluar daripada Malaysia atau memisahkannya daripada penjaganya yang sah, maka dia boleh dihukum dengan hukuman penjara yang boleh menjangkau sehingga tempoh 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Bagaimanapun, terdapat akta yang lebih berat bersabit Akta Penculikan iaitu Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

Jelasnya lagi, ada juga kes di mana mangsanya ialah kanak-kanak kemudian dibunuh dan macam-macam lagi, misalnya insiden yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin pada 2007, kemudian kes Sharlinie Mohd Nashar pada Januari 2008 yang berusia 5 tahun di mana beliau dilaporkan hilang selepas bermain di taman permainan bersama seorang kakaknya yang berusia 8 tahun.

Beliau yang merupakan Mantan Ketua Polis Negara itu turut mengingatkan pihak sekolah supaya mengingatkan ibubapa untuk mengambil anak tepat pada masanya, pihak sekolah juga perlu ada senarai nombor telefon balai polis yang terdekat.

“Sekiranya berlaku apa-apa terus telefon pihak polis untuk tindakan lanjut sebagai langkah pencegahan awal.”

“Bekerjasamalah dengan pihak polis dan pihak polis pula boleh mencegah perkara ini berlaku dengan mengadakan rondaan dari semasa ke semasa terutamanya di kawasan-kawasan sekolah berdekatan dan di kawasan yang dikenal pasti,”tegasnya.

Tambah beliau, jenayah culik bukan lagi sesuatu yang baru dalam negara kita. Jenayah seumpama ini sememangnya menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa utama mereka dan telah berlaku sejak dahulu lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: