Tempatan

Culik: 5 Lelaki Dipenjara Seumur Hidup, 10 Sebatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Oktober 2022 – Lima lelaki dipenjara seumur hidup dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menculik seorang pengurup wang bagi mendapatkan wang tebusan RM3 juta, enam tahun lepas di Pulau Pinang.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap T. Shasitaran, 38, A. Ashokan, 39, Mohd Sultan Ahmad Kabir, 43, Ong San Chia, 37, dan Yeoh Shyh Ming, 33, di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 dan 3 Okt 2016. Mereka dihantar ke Penjara Pulau Pinang untuk menjalani hukuman penjara.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Hakim Akhtar mendapati tiada keganasan melampau berlaku dalam kes itu dan berkata mangsa, yang menghidap penyakit diabetes hanya cedera pada ibu jarinya selepas tangannya digari.

“Mangsa hanya digari dan ibu jarinya tercedera. Atas pertimbangan itu, saya memerintahkan semua tertuduh dihukum penjara seumur hidup bermula dari tarikh tangkapan.”

“Hukuman sebat adalah mandatori, oleh sebab itu saya (turut) memerintahkan agar mereka dihukum 10 sebatan setiap seorang,” katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, terdapat bukti menunjukkan mangsa diculik di hadapan rumahnya dan kesemua tertuduh menuntut wang tebusan.

Katanya, mahkamah mendapati kesemua tertuduh telah berbohong ketika memberikan keterangan bela diri bahawa mangsa tersalah mengenal pasti mereka yang menculiknya.

“Satu-satunya perkara yang perlu dipertimbangkan ialah niat untuk menculik dan mengurung mangsa, adakah untuk mengutip hutang, seperti yang dikatakan oleh kesemua tertuduh?”

“Namun, mahkamah mendapati pembelaan kesemua tertuduh tidak logik dan difikirkan semula kerana mereka berada di penjara bersama-sama dan mempunyai masa mencukupi untuk mengemukakan cerita sama,” kata hakim itu dan menambah keterangan mangsa bahawa mereka menculiknya adalah benar.

Mengikut fakta kes, mangsa diculik bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di tepi Jalan Rumbia berdekatan Kristal Garden, Bayan Lepas, kira-kira 10.30 pagi, 28 Sept 2016.

Bagaimanapun, polis berjaya mengesan semua tertuduh dan menangkap mereka sebelum dibicarakan di Pulau Pinang.

Keputusan kes itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Akhtar berpindah dari Pulang Pinang ke Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: