Culik: 11 Ditahan Kes Culik Pemuda Palestin Mahu Rahsia Perisian Godam Telefon
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2022 – Sebelas individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa atas niat bersama telah menahan lelaki Palestin dengan nama O.A., 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding pendakwaan pada Jumaat yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi, tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh kerana kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan, lapor media tempatan.
“Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi sebutan semula kes.”
Bulan lalu, seorang lelaki warga Palestin diselamatkan polis, sehari selepas mangsa diculik individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng pada 29 September 2022.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa yang berusia 31 tahun diselamatkan selepas pihaknya menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 September hingga Khamis, 13 Oktober 2022.
Datuk Azmi Abu Kassim memaklumkan, hasil siasatan mendapati mangsa yang dipercayai tinggal di Eropah, masuk ke negara ini pada 21 September lalu sebagai pelancong.