CUEPACS Lega Kerajaan Umum Enam Insentif Buat Penjawat Awam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 31 Ogos 2022 – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menyifatkan enam insentif Kerajaan memberi kelegaan buat penjawat awam.
“Ini memberi kelegaan kepada penjawat awam pada ketika Kerajaan sendiri tidak cukup lega dari segi kewangan,” katanya kepada akhbar tempatan.
Walaupun tidak semua cadangan dan tuntutan dipenuhi Kerajaan, tetapi Kerajaan tetap menunaikan beberapa insentif kepada penjawat awam yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
“Sebagai contoh, pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 berjumlah RM700 kepada anggota Gred 56 ke bawah serta kenaikan gaji tahunan tambahan khas sebanyak RM100 dapat meringankan beban penjawat awam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Adnan turut menghargai komitmen Kerajaan menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam memandangkan sistem saraan sedia ada telah dilaksanakan sejak 20 tahun lalu dan tidak lagi sesuai dengan suasana persekitaran ekonomi serta kos sara hidup semasa.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri telah mengumumkan beberapa insentif buat penjawat awam ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).