Tempatan

Cubaan Masuk Parlimen: Siasatan Bermotifkan Politik – Lim Guan Eng

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

GEORGE TOWN, 12 Ogos 2021 – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa siasatan polis berkaitan ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu bermotifkan politik dan membuang masa.

Tindakan menerusi siasatan juga dilihat memberi tekanan terhadap mereka sebagai ahli Parlimen pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kami rasa dihina sebagai ahli Parlimen apabila dipanggil untuk memberikan keterangan sedangkan kami mahu masuk pejabat masing-masing di dalam bangunan Parlimen itu bagi menjalankan tugas.”

“Siasatan ini juga dilihat bermotifkan politik dalam suasana sekarang dan tekanan yang diberikan ini mungkin juga untuk mempengaruhi kami bagi membuat sesuatu tetapi ia tidak akan berjaya.”

Tambah Setiausaha Agung DAP itu lagi, ini merupakan kali pertama ahli Parlimen dihalang oleh pihak Pasukan Simpanan Persekutuaan (FRU) dengan membuat sekatan daripada memasuki bangunan Parlimen.

Oleh itu, Lim Guan Eng menuntut polis memberi penjelasan mengapa ahli Parlimen dihalang masuk pada hari kejadian.

2 Ogos lalu, laluan masuk ke Parlimen dikawal ketat oleh pihak berkuasa selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang dilihat cuba memasuki bangunan itu.

Pada hari kejadian, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba berarak ke bangunan Parlimen yang bermula dari Dataran Merdeka.

Laluan utama ke Parlimen ditutup dengan penghadang bagi mengelak orang ramai masuk, susulan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada hari itu, ditangguhkan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button