Tempatan

Cuaca Panas: Stok Bekalan Beras Masih Terkawal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 03 Ogos 2024 – Stok bekalan beras di pasaran masih terkawal walaupun pengeluaran padi terkesan ekoran cuaca panas kemarau yang menjejaskan kira-kira 130,000 hektar sawah di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, stok bekalan beras masih mencukupi untuk menampung keperluan harian rakyat sekali gus orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan bekalan makanan ruji itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sedang berusaha untuk memastikan kawasan sawah padi terlibat akibat kemarau dengan melakukan pembenihan awan dan memasang pam untuk mengalirkan air ke bendang.

“Bukan seluruh kawasan sawah terjejas kerana cuaca panas ini. Ia membabitkan kawasan seperti di Kerian, Perak dan sesetengah kawasan lain di Kelantan.”

“Namun tiada masalah bekalan beras di pasaran dan ia masih mencukupi untuk menampung keperluan orang ramai buat masa kini,” katanya.

Terdahulu, Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras tahun ini dijangka menurun kepada 50 peratus susulan cuaca panas dan kemarau yang mengakibatkan kira-kira 130,000 hektar sawah di seluruh negara terjejas.

Jumlah itu menurun 10 peratus berbanding sasaran SSL tahunan beras iaitu 60 peratus bagi kurangkan kebergantungan negara kepada beras import.

Penurunan itu dijangka kerana beberapa kawasan penanaman padi di Perak, Perlis, Kedah, Melaka dan Kelantan tidak mendapat pengairan secukupnya bagi membantu pertumbuhan padi yang rata-rata kini sudah berusia 50 ke 60 hari.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md. Radzi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan bahawa bekalan makanan ruji tidak mencukupi sehingga menyebabkan menjejaskan permintaan orang ramai.

Katanya, pengeluaran masih terkawal dan berada dalam keadaan baik meskipun sesetengah kawasan sawah berdepan masalah air.

“Ia hanya membabitkan sesetengah kawasan sahaja, bukannya seluruh bendang. Jadi masyarakat tidak perlu bimbang dengan perkara ini.”

“Cuma kerajaan melakukan beberapa langkah untuk memastikan bekalan air di bendang sawah mencukupi. Ia termasuklah memasang pam untuk mengalir ke sawah,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: