Tempatan

Cuaca Panas: 406 Hutan Tanah Gambut Seluruh Negara Berisiko Terbakar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI 2024 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi amaran bahawa sebanyak 406 lokasi hutan tanah gambut di seluruh negara dikenal pasti berpotensi berlaku kebakaran terbuka sepanjang fenomena El Nino.

Ketua Pengarah, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, risiko kebakaran menjadi lebih tinggi apabila kenaikan suhu sehingga 40 darjah Celcius boleh berlaku pada fasa akhir Monsun Timur Laut kali ini terutama di Kedah dan Perlis.

“Tanah gambut terdiri daripada bahan organik yang terurai dan menyerap air ketika musim hujan, namun apabila musim kering, bahan organik itu akan menjadi kering dan mudah terbakar.”

“Kebakaran berskala besar boleh berlaku sekiranya terdapat pembakaran terbuka tidak terkawal di lokasi panas itu sekali gus mencetuskan fenomena jerebu.”

Mengulas lanjut, Kedah merekodkan negeri tertinggi mempunyai hutan tanah gambut berisiko berlakunya kebakaran selepas 119 hotspot dikesan diikuti Johor (45), Negeri Sembilan (37), Terengganu (34), Sabah (33) dan Sarawak (30).

Seterusnya, Selangor (22) diikuti Kuala Lumpur (15), Pulau Pinang (13), Pahang (10), Kelantan (9), Melaka (6) dan Perlis (3).

“Bagaimana pun, tiada sebarang hotspot dikenal pasti di Putrajaya,” katanya.

Justeru, orang ramai diingatkan agar mengelak daripada melakukan sebarang bentuk pembakaran terbuka di kawasan-kawasan berisiko ini.

“Laporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka oleh individu kepada pihak berkuasa selain memperingatkan keluarga dan kenalan supaya tidak membuat aktiviti pembakaran terbuka,” tegasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: