Cuaca Lembap Boleh Kurangkan Kesan Jerebu Kalimantan – METMalaysia
KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2023 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca lembap di Sarawak untuk beberapa hari akan datang mampu mengurangkan kemungkinan kesan jerebu dari Kalimantan.
Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata, Sarawak diramalkan akan mengalami hujan dan/atau ribut petir di satu atau dua lokasi di pedalaman untuk tujuh hari akan datang.
“Di kawasan barat Borneo, angin dijangka bertiup dari arah selatan-barat daya dalam beberapa hari akan datang.”
BACA JUGA: Nahas Pesawat: Jangan Kongsi Gambar, Video Visual Mangsa Insiden – MCMC
BACA JUGA: Singapura-Malaysia Perlu Teroka Kerjasama Tangani Isu Perubahan Iklim
BACA JUGA: Tiada Kompromi Kesalahan Tukar Label Beras
“Justeru, jika jerebu berlaku di barat Kalimantan, sebahagian asap dijangka bergerak ke arah bahagian barat Sarawak. Namun, cuaca di Sarawak dijangka agak lembap dalam beberapa hari akan datang dan kita berharap hujan turun akan mengurangkan kesan jerebu jika ia berlaku,” katanya.
Jelasnya, ketika ini suhu maksimum di kebanyakan tempat di Sarawak dijangka normal antara 32°C dan 34°C.
“Ada kemungkinan suhu maksimum di satu atau dua kawasan, terutama di pedalaman, mungkin melebihi 35°C.”
“Bagaimanapun, ia mungkin tidak mencapai tahap gelombang haba,” katanya.
Selasa lalu, Kuching dan kawasan sekitarnya dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 91 di IPD Serian.
Bacaan IPU 51 hingga 100 dianggap sederhana manakala bacaan antara 101 dan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, menurut METMalaysia.