Tempatan

Crackhouse Comedy Club: Pemilik Disenarai Hitam Seumur Hidup

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2022 – Pemilik Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel disenarai hitam dari mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu negara untuk seumur hidup, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Malah, kita juga mengambil keputusan menyenaraihitamkan pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya,” ujarnya dalam sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mesyuarat pada 29 Julai lalu bersetuju untuk membatalkan lesen pemilik kelab komedi tersebut dan ia telah berkuat kuasa pada 30 Julai lalu.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga melakukan pemantauan ke atas beberapa kelab di ibu kota yang disyaki turut terbabit dalam aktiviti yang serupa.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” jelasnya.

13 Julai lalu, lapor media tempatan, kelab komedi berkenaan telah digantung dari beroperasi untuk sementara waktu oleh pihak DBKL kerana tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Kata Jalaluddin, premis tersebut hanya mempunyai lesen restoran dan minuman keras tetapi tidak pada lesen hiburan.

Sebelum ini, samudera.my turut melaporkan bahawa pemilik kelab berkenaan ditahan berhubung tiga videonya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan agama Islam. Tindakannya itu telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam.

Justeru, Jalaluddin menegaskan agar setiap premis untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan apabila lesen hiburan dikeluarkan dan sekiranya ia tidak dipatuhi pemilik haruslah bersedia untuk berhadapan dengan tindakan tegas.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: