CPTPP: Surat Jemputan Gabungan Kedaulatan Negara Kepada MITI
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Gabungan Kedaulatan Negara telah menghantar jemputan kepada Yang Berhormat Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada hari ini untuk menyertai dialog mengenai ratifikasi Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).
Difahami bahawa YB Menteri MITI dalam temu bual eksklusif saluran berita CNBC pada hari Khamis 5 hb Januari lalu mengumumkan bahawa Kerajaan tidak akan menilai semula impak CPTPP terhadap negara kita.
YB Menteri MITI juga dilaporkan berkata: “Memang terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun telah menangani perkara itu dan banyak tindakan telah diambil oleh kementerian dan Kerajaan untuk menanganinya. Jadi kami sangat komited untuk menyertai CPTPP”.
Namun hakikatnya, selama ini tiada maklum balas terperinci daripada pihak MITI mengenai kebimbangan yang ditimbulkan daripada pelbagai pihak tersebut. Malah di Parlimen, sama seperti apa yang disebut oleh YB Menteri MITI, jawapan daripada bekas Menteri MITI adalah bersifat umum dan penuh dengan jaminan tetapi tidak pernah secara langsung menjawab pelbagai kebimbangan tersebut secara khusus dan berfakta.
Sedangkan, telah jelas memoranda-memoranda yang diserahkan kepada setiap Kerajaan (Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan sekarang Kerajaan Perpaduan) selama ini menunjukkan bahawa peruntukan khusus dan komitmen Malaysia di bawah CPTPP, secara keseluruhannya, mengurangkan kebebasan negara untuk membuat dan melaksanakan dasar bagi manfaat rakyat.
Kami amat mengalu-alukan komitmen Kerajaan baharu untuk menangani isu hak, ekonomi dan kebajikan rakyat, khasnya golongan B40 dalam persekitaran global yang tidak menentu kini.
Komitmen yang mengikat secara sah di bawah CPTPP telah dimuktamadkan kali yang terakhir pada 2015. Dunia telah berubah secara drastik sejak itu.
Namun analisis kos dan faedah (CBA) yang diterbitkan oleh MITI pada Julai 2022 dengan jelas menyatakan bahawa kajian itu berteraskan andaian bahawa dunia kekal sama seperti pada 2021 ketika kajian itu dilakukan.
Tambahannya, skop CBA oleh MITI juga tidak menyeluruh. Kami tidak faham bagaimana ia boleh menjadi asas untuk Kerajaan memutuskan bahawa manfaat CPTPP jauh melebihi kosnya.
Kami telah mencadangkan agar sebuah dialog bersama YB Menteri MITI diadakan pada 16hb Januari atau mana-mana tarikh sesuai pada YB Menteri secepat mungkin.
Bagi pihak Gabungan Kedaulatan Negara,
Azlan Awang
Felo Kanan
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu
Chee Yoke Ling
Pengarah Eksekutif
Third World Network
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan peribadi samudera.my