COVID-19: WHO & SAGE Sokong Vaksin Booster Kedua Ditawarkan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GENEVA, 21 Ogos 2022 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi (SAGE) menyokong pemberian vaksin dos penggalak kedua kepada kumpulan tertentu seperti kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 untuk meningkatkan imuniti mereka.
Oleh itu, dos penggalak kedua perlu diambil empat hingga enam bulan selepas suntikan dos penggalak pertama, ujar Pengerusi SAGE, Alejandro Cravioto.
“Berkemungkinan besar, dos tambahan vaksin diperlukan selepas empat hingga 12 bulan mendapatkan dos penggalak kedua, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi sakit teruk atau maut akibat COVID-19, tambah Alejandro Cravioto yang menjangkakan individu berisiko tinggi memerlukan lebih dari dua dos penggalak.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa suntikan dos penggalak kedua bagi golongan berisiko tidak wajar dilengahkan semata-mata kerana mahu menunggu vaksin bagi menangani varian baharu pada masa hadapan.
“Kami melakukan ini berdasarkan pemerhatian yang jelas berkaitan dengan penurunan imuniti dan khususnya dalam konteks Omicron,” kata Penasihat Kanan Kesihatan WHO, Joachim Hornbach yang juga menyokong pemberian dos penggalak kedua kepada golongan berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19.
Wabak Covid-19 yang menjadi pandemik terus merebak sehingga baru-baru ini darurat kesihatan telah diisytiharkan di Kepulauan Marshall susulan penularan wabak tersebut dengan begitu pantas.
Baru-baru ini juga, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Inc., syarikat gergasi pengeluar vaksin COVID-19, Albert Bourla mendedahkan bahawa beliau disahkan positif COVID-19.
Beliau yang telah menerima vaksin penuh, empat dos vaksin COVID-19 yang dibuat oleh Pfizer dengan kerjasama syarikat BioNTech SE, kini menerima rawatan menggunakan ubat antiviral Paxlovid yang dihasilkan syarikatnya sendiri.