Tempatan

Ajaran Ahmadi Bercanggah Ajaran Islam, Bersifat Pluralisme Agama – IKIM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 MAC 2024 – Falsafah serta konsep ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) mempunyai banyak percanggahan dengan ajaran Islam dan bersifat pluralisme agama, menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Katanya, ia merupakan ajaran sesat yang tiada kaitan dengan Islam biarpun kandungannya banyak memetik ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W.

“Masyarakat Islam di Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan kemunculan satu ajaran sesat menggunakan nama ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ yang dikepalai seorang individu mengaku dirinya ialah Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq manakala pendeta (bishop) mereka di Malaysia dan Indonesia Bernama Kashfullah Amaluddin.

“Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa muncul masa kini, mereka mempercayai penjelmaan semula (reincarnation) juga mempunyai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad S.A.W,” jelasnya.

Ujar beliau, biarpun secara luaran ia memaparkan seperti ajaran Islam, namun bagi mereka yang mempunyai sedikit ilmu pengetahuan akan ajaran Islam pasti menyedari bahawa ajaran ini jelas menyimpang dari ajaran Islam sebenar.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan berhubung ajaran tersebut yang mana mereka bukan sahaja aktif di media sosial dan popular menerusi penstriman langsung di platform TikTok yang mempunyai lebih 30,000 pengikut, malah mereka turut mempunyai penonton yang ramai dan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi mereka.

Sehubungan itu, IKIM memandang serius terhadap isu tersebut dan akan menggunakan semua saluran dan platform seperti Radio, TVIKIM dan media sosial bagi memberi kefahaman jelas kepada masyarakat berhubung isu berkenaan.

Malah, ia juga untuk menyedarkan masyarakat awam akan bahayanya ajaran sesat itu jika ia menular.

“IKIM juga akan menghasilkan penulisan dari pegawai penyelidik dan felow yang akan diterbitkan dalam akhbar perdana dan laman web IKIM bagi memberi kefahaman yang sebenar kepada masyarakat,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: