Tempatan

Undang Inflasi, PUTRA Bantah Kenaikan Harga Air

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Januari 2024 – “Parti PUTRA membantah keras kenaikan harga air yang bakal mengundang inflasi dan akan melemas serta menyusahkan rakyat jelata nanti,” demikian tegas Naib Presiden PUTRA, Dato’ Asmawar Samat merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam dalam satu kenyataan berhubung isu harga bekalan air yang akan dinaikkan 22 sen semeter padu mulai Februari ini.

Menurut beliau, kenaikan harga air merupakan suatu perkara yang boleh mencetuskan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan lagi kemiskinan di kalangan rakyat di mana kumpulan yang bakal terjejas teruk adalah mereka yang tinggal di bandar dan pinggir bandar, perumahan awam yang diurus oleh Pihak Berkuasa Tempatan serta perumahan murah milik persendirian.

“Rakyat tertunggu-tunggu bilakah pihak kabinet akan membuat pengumuman rasmi beserta formula yang komprehensif bagi mengurangkan bebanan rakyat bawahan?”

“Parti PUTRA berasa hairan bagaimana perkara asas kehidupan rakyat melibatkan harga dan bekalan air dipandang enteng dan mudah oleh pihak kerajaan. Sudahlah bekalan makanan lainnya seperti beras, ayam, minyak masak dan gula telah naik, kenaikan harga air dan mungkin selepas ini harga minyak petrol adalah suatu perkara yang sukar dinafikan. Umum semua tahu bahawa harga minyak dunia telah naik 2% sejurus selepas tercetusnya serangan US ke atas tentera Houthi dan Yaman pada Disember 2023 yang lepas,” katanya.

“Sebaiknya perkara tersebut harus dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Suruhanjaya Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan negeri-negeri lainnya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan.”

“Seperkara yang belum diketengahkan adalah kualiti atau kandungan Ph dalam bekalan air yang tinggi iaitu antara 6.5 hingga 8.5. Sebab itu, bagi kumpulan atasan yang mampu, mereka memilih untuk memasang penapis air Ph 7.5 ke bawah di rumah masing-masing. Namun, tidakkah kita terfikir untuk mencontohi negara Korea Selatan, yang mana hasil penggunaan tempurung kelapa dan kelapa sawit terbuang di Asia Tenggara, telah membuatkan mereka mampu membekalkan air bersih dan selamat dikonsumsi di premis perniagaan dan rumah di Bandaraya Seoul.”

“Kini ramai juga pengguna yang terpaksa membeli air minuman RM6.60 untuk 9500 mm dan air mineral RM2.50 untuk 1250 mm dari kedai runcit lainnya bagi menjamin kesihatan mereka, terutamanya buah pinggang, agar tidak terjejas. Tidakkah kita terfikir, untuk membuat inisiatif projek pilot di Putrajaya misalnya, dengan membekalkan air dengan Ph di bawah 7.5 bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.”

“Harga air minuman kini sudah hampir sama mahal dengan harga minyak. Secara perbandingan, pada bulan Oktober 2023, harga runcit petrol RON95 adalah RM2.05 seliter; petrol RON97 RM3.47 seliter; dan diesel RM2.15 seliter.”

Justeru katanya, pentadbir kerajaan di Putrajaya sepatutnya menjadikan Putrajaya sebagai contoh untuk kos sara hidup yang rendah dan sekiranya isu air ini lebih kepada memudaratkan, adalah lebih elok sekiranya hasrat untuk menaikkan harga bekalan air dibatalkan, ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: