COVID-19: Kes Meningkat, Lockdown Di China Libatkan Jutaan Rakyat
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
CHINA, 18 Julai 2022 – Selepas merekodkan angka tertinggi kes COVID-19 sejak Mei 2022 iaitu pada 16 Julai lalu telah memaksa jutaan penduduk di republik itu dikenakan perintah berkurung hujung minggu ini, lapor Buletin TV3.
Keputusan yang dibuat dengan usaha mengehadkan kesan ke atas ekonomi China disebabkan perintah berkurung oleh negara terbabit adalah melibatkan beberapa bahagian di negara itu.
Selain itu, varian omicron menjadi cabaran utama pihak berkuasa di negara itu dalam usaha mereka untuk merealisasikan dasar sifar covid-19 untuk menyingkirkan wabak berkenaan meskipun mereka sedia maklum bahawa strategi terbabit menjejaskan ekonominya.
Sebanyak 450 kes tempatan semalam berbanding 432 kes direkodkan pada Sabtu lalu dengan kebanyakan kes tidak menunjukkan gejala.
Dalam pada itu, susulan dari peningkatan kes COVID-19 yang meningkat secara mendadak pada ketika ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyeru pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia agar melaksanakan semula sekatan kesihatan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan pengudaraan yang baik dalam usaha menyampaikan pesanan risiko COVID-19 kepada orang awam.
“Virus ini bebas menular dan terdapat negara yang tidak menguruskan secara berkesan seperti kemasukan ke hospital bagi jangkitan kes dan peningkatan jumlah pesakit dengan simptom ‘Long COVID-19’,” tambah beliau dalam satu kenyataan yang dilaporkan berita RTM.