COVID-19 : Kawasan Tanah Perkuburan Tidak Mencukupi
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SUNGAI PETANI, 15 Ogos 2022 – Peningkatan jumlah penggunaan tanah kubur akibat peningkatan mendadak kematian susulan penularan wabak COVID-19 sebelum ini mengakibatkan kawasan tanah perkuburan tidak mencukupi di sesetengah tempat.
Menurut imam Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Ibrahim Ahmad, penggunaan tanah perkuburan kariah di sana seluas kira-kira tiga relung yang berusia 23 tahun itu sudah mencapai tahap 95 peratus dan perlu diganti dengan kawasan perkuburan baharu secepat mungkin.
“Banyak kematian direkodkan terutama ketika penularan pandemik COVID-19, oleh itu kami perlu cepat carikan ruang kubur baharu bagi menampung keperluan anak kariah.”
Katanya, tanah perkuburan itu hanya berbaki kira-kira 50 liang lahad sahaja dan jika kawasan perkuburan itu penuh, jenazah daripada kariah itu terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Mawaddah, Sungai Batu yang berjarak kira-kira tiga kilometer dari kawasan masjid.
“Pihak masjid sebolehnya hendak memudahkan urusan anak kariah supaya jenazah ahli keluarga mereka dapat dikebumikan di tanah perkuburan dalam kariah sendiri.”
Dalam pada itu Ibrahim mendedahkan, pihaknya kini dalam usaha mengumpul dana bagi membuka tanah perkuburan baharu di atas tiga tanah lot dengan jumlah keluasan kira-kira lapan relung yang dijangka dapat digunakan untuk tempoh selama lebih 15 tahun lagi.
Jelasnya, sejumlah RM2.5 juta akan dibelanjakan untuk menguruskan pembelian dan baik pulih tanah bagi mewujudkan kawasan perkuburan baharu seperti membersihkan tanah, menambak dan memasang pagar di tanah perkuburan tersebut.
“Kawasan tanah ini perlu dibersihkan kerana kawasan tersebut dipenuhi belukar, berpaya dan kawasan sawah, jadi kos untuk bersih dan tambun tanah juga tinggi.”