Tempatan

COVID-19 Dijangka Meningkat Selepas Krismas, Tahun Baharu – KKM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Disember 2023 – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peningkatan kes COVID-19 akan bertambah selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah yang bermula Sabtu ini.

Ketua pengarah kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata, ia susulan peningkatan pergerakan dalam tempoh itu.

Sehubungan itu, KKM  menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka jika mereka menunjukkan gejala COVID-19 bagi melindungi keluarga, jiran dan rakan mereka daripada dijangkiti.

Dalam pada itu, Dr Radzi melaporkan terdapat peningkatan jumlah kes COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) iaitu daripada 6,796 kepada 12,757 kes.

Namun, menurutnya peningkatan kes adalah seiring trend global pada setiap hujung tahun dan majoriti kes mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan hospital.

“Walaupun terdapat peningkatan mendadak jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan, keadaan di Malaysia masih terkawal dan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kapasitinya.”

Radzi turut menasihati warga emas serta mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang mempunyai komorbiditi untuk menggunakan Paxlovid jika mereka menunjukkan gejala COVID-19.

Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh masa lima hari daripada hari gejala bermula.

Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan untuk menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala.

Jika ujian COVID-19 didapati positif, pesakit dinasihatkan dapatkan penilaian perubatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menentukan kelayakan mengambil Paxlovid.

Beliau berkata, walaupun terdapat kemunculan berterusan varian COVID-19 baharu, ubat antivirus oral itu kekal berkesan dalam mengurangkan gejala dan mencegah kesan yang lebih buruk.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: