Antarabangsa

COVID-19 Boleh Kecutkan Otak, Kurangkan Ingatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LONDON, 11 Mac 2022 – Menurut kajian Universiti Oxford, COVID-19 boleh menyebabkan otak mengecut, mengurangkan jirim kelabu (gray matter) di kawasan yang mengawal emosi dan ingatan serta menjejaskan bahagian yang mengawal deria bau.

Para saintis mengatakan kesan tersebut turut berlaku pada pesakit COVID-19 yang tidak dimasukkan ke hospital dan kesannya pada jangka masa panjang masih dalam siasatan lanjut.

Kajian ini dijalankan semasa varian COVID-19 Alpha dominan di Britain dan jika ada, mungkin dalam bilangan sedikit sahaja peserta yang dijangkiti varian Delta.

Kajian tersebut memfokuskan penyiasatan perubahan otak pada 785 peserta dalam lingkungan umur 51-81 tahun dan otak mereka diimbas sebanyak dua kali termasuklah 401 orang yang dijangkiti COVID-19 selepas dua imbasan. Imbasan kedua dijalankan secara purata 141 hari selepas imbasan pertama.

SARS-CoV-2 is associated with changes in brain structure in UK Biobank

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature ini, terdapat bukti kukuh menunjukkan keabnormalan bahagian otak dalam pesakit COVID-19.

Prof. Gwenaëlle Douaud, ketua penyelidik berkata walaupun 96 peratus peserta penyelidikan mengalami gejala COVID-19 yang ringan, mereka lihat peserta kehilangan banyak isipadu jirim
kelabu, dan kerosakan tisu yang lebih teruk secara purata 4.5 bulan selepas dijangkiti COVID-19.

Tambah beliau, fungsi otak bertambah teruk khususnya dalam mengatur dan memberi tumpuan akibat daripada purata saiz otak yang mengecil antara 0.2 dan dua peratus.

Hasil kajian mendapati sesetengah penghidap COVID-19 mengalami gejala seperti gangguan terhadap kelajuan memproses maklumat, perhatian, ingatan, dan tumpuan yang dipanggil ‘kabus otak’ (brain fog).

Gejala ‘kabus otak’ (brain fog) termasuk di antara sindrom pasca COVID-19 atau ‘long COVID’ yang boleh berlanjutan melebihi 3 bulan selepas dijangkiti wabak. Menurut Prof. Dr. Moy Foong Ming, pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, kabus otak juga termasuk kesukaran mencari perkataan, masalah pertuturan, aliran pemikiran serta menyebabkan perbualan harian terganggu.

Prof Gwenaëlle menjelaskan bahawa statistik kajian Universiti Oxford mewakili kesan purata, di mana tidak semua pesakit COVID-19 akan mengalami perubahan otak. Tambahan pula, penyelidik tidak menyatakan sama ada suntikan vaksinasi COVID-19 mampu memberi kesan atau tidak terhadap perubahan pada otak.

Bulan lalu, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom memaklumkan berdasarkan 15 kajian bahawa individu yang telah divaksinasi kurang mengalami gejala ‘long COVID’ berbanding mereka yang belum menerimanya.

Long COVID atau dikenali sebagai Sindrom Post Covid merupakan suatu keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif. Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.

Antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19 adalah kelesuan (fatigue), kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti (exertional dyspnea), sukar tidur malam (insomnia), batuk (cough) dan kegelisahan (anxiety).

Leave a Reply

Back to top button