Antarabangsa

Cikgu Paksa Tanggalkan Uniform Murid Kasta Rendah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LUCKNOW, 23 Julai 2022 – Dua orang murid perempuan sekolah rendah berdepan dengan trauma selepas dipaksa menanggalkan pakaian sekolah mereka di hadapan rakan-rakan sekolah yang lain.

Dua murid dari kasta dalit yang masing-masing berusia 8 dan 9 tahun itu dipaksa oleh guru mereka untuk memberi pakaian sekolah yang sedang dipakai mereka kepada pelajar lain.

Menurut Gautam, bapa kepada dua beradik tersebut, pada hari itu, sekolah kerajaan yang terletak di daerah Hapur, Uttar Pradesh itu mengadakan sesi fotografi. Akan tetapi, terdapat beberapa orang murid lain yang tidak memakai uniform sekolah.

“Dua orang guru wanita, Sunita dan Bandana dikatakan memaksa mereka menanggalkan uniform agar murid-murid lain boleh memakainya sewaktu sesi bergambar,” kata Gautam menurut NewsClick.

Apabila kedua-dua beradik itu enggan, kedua guru itu lantas memaksa kanak-kanak itu untuk segera menanggalkan uniform sekolah mereka.

Bahkan, guru tersebut juga bertindak memukul kedua-dua kanak-kanak terbabit.

“Anak-anak gadis saya berdiri separa bogel di hadapan semua orang sampailah murid-murid lain selesai bergambar,” kata Gautam lagi.

“Guru-guru itu juga melarang anak-anak saya dari memberitahu orang lain tentang insiden ini. Mereka diugut akan dibuang sekolah jika mengadu kepada ahli keluarga.”

Tambah Gautam, insiden ini merupakan antara diskriminasi dan tindakan cuba memalukan anak-anaknya oleh guru-guru yang sama. Anak-anaknya pernah dimarahi oleh kedua guru tersebut di saat murid-murid lain hanya diberi amaran

“Corak bagaimana mereka (guru) melayan anak-anak perempuan saya dan beberapa insiden yang berlaku, jelas menunjukkan bahawa prejudis ini disengajakan dan wajar untuk mengandaikan ini disebabkan oleh latar belakang kasta anak-anak perempuan saya,” kata Gautam dengan kecewa.

Apabila perkara ini diadukan kepada pihak atasan sekolah, guru besar sekolah itu malahan cuba menyembunyikan insiden ini.

Berikutan kejadian ini, Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan bagi Kasta Berjadual (NCSC), Vijay Sampla, menggesa tindakan diambil terhadap guru-guru tersebut berdasarkan laporan polis yang dibuat.

Susulan laporan FIR, kedua-dua guru tersebut telah digantung tugas dan soal siasat sedang dijalankan oleh Pegawai Pendidikan Blok.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: