China Dedah Robot Anjing “Perang” Lengkap Bersenapang
KHAMIS, 30 Mei 2024 – Pihak tentera China telah membuat demonstrasi dengan mempamerkan salah satu keupayaan ketenteraan mereka yang paling terkini sewaktu sesi latihan bersama dengan pihak tentera Kemboja.
Antara senjata yang dilancarkan sewaktu sesi latihan tersebut termasuklah beberapa jenis robot ketenteraan, termasuk robot yang menyerupai anjing yang dilengkapi dengan senapang, yang mana ianya adalah sebuah mesin yang dikawal dari jauh.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak penyiaran China, CCTV pada minggu lalu, program latihan bersama, Golden Dragon 2024 itu menumpukan tentang “alatan-alatan perisikan” termasuklah segala jenis robot serta peralatan udara kawalan jauh.
Suntingan video yang dipaparkan oleh media tersebut menunjukkan beberapa robot yang dikawal dari jauh, yang digunakan dalam pelbagai jenis tugasan termasuklah tugasan tinjauan, pengesanan sasaran serta operasi serangan.
Sebuah robot tinjauan yang menyerupai anjing telah dihasilkan dengan berat hanya 15 kilogram dan ianya mampu beroperasi di antara dua ke empat jam dan mampu memaparkan video dengan masa yang tepat. Ianya juga berupaya untuk berbaring dengan pantas, melompat serta bergerak dalam pelbagai arah pada ruang yang lapang.
Sebuah lagi robot “anjing” seberat 50 kilogram pula dilengkapi dengan senapang pada bahagian belakang badannya, dilihat memasuki sebuah bangunan dan diikuti oleh skuad serangan di belakangnya dalam latihan terbabit.
Sesi latihan bersama Golden Dragon 2024 bersama pihak tentera Kemboja itu dijadualkan akan tamat pada hari ini.