Tempatan

Cetak Duit Beri RM10,000 Kepada Mangsa Banjir Takkan Sebabkan Inflasi – Gerakan Keadilan Monetari

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2021 – Gerakan Keadilan Monetari mendesak kerajaan untuk mencipta wang agar bantuan RM10,000 dapat diberi kepada mangsa-mangsa banjir.

Menurut kenyataan media rasmi NGO itu, kerajaan sememangnya boleh mencipta duit dan menganugerahkan RM10,000 untuk setiap keluarga yang kehilangan dan kerosakan rumah.

“Di masa-masa begini kepada kerajaanlah rakyat berpaling. Mereka tidak minta diuji begini dan punca-punca banjir tersebut kini jelas meletak mereka di tahap mangsa tidak bersalah yang sangat malang.”

Bukan itu sahaja, di masa-masa beginilah akan keluar momokan-momokan yang mengatakan inflasi akan berlaku sekiranya Kerajaan mencipta duit bagi menolong rakyat.

Namun, “Gerakan Keadilan Monetari ingin menyatakan bahawa anggapan ini ialah anggapan yang silap dan sangat tidak bertanggung jawab.”

Mereka menyifatkan, inflasi tidak akan berlaku sekiranya kerajaan mencipta duit untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.

Ia kerana setiap penghuluran duit diikuti dengan terciptanya barang dan perkhidmatan.

Tetapi, inflasi berlaku apabila bank -bank mencipta duit dan menghalakannya terlalu banyak kepada pinjaman peribadi.

“Apabila kerajaan cipta wang dan anugerah kepada rakyat mangsa banjir yang kerosakan rumah, apa yang akan berlaku ialah mereka akan gunakan wang itu untuk upah tukang perbaiki rumah. Tukang perbaiki rumah akan guna duit itu untuk membeli bahan konkrit, papan, paku, cat dan sebagainya,” kata Gerakan Keadilan Monetari.

“Penjual konkrit, papan, paku dan cat akan kelihatan peningkatan jualan-jualan barang-barang dan akibatnya gudang-gudang konkrit, papan, paku, cat dan sebagainya akan tambah pembikinan barang-barang ini. Kemungkinan besar mereka akan tambah pekerja.”

Jadi di mana yang akan jadi inflasinya kalau Kerajaan cetak duit untuk beri mangsa banjir?

Justeru Gerakan Keadilan Monetari mendesak Kerajaan untuk bangun membantu rakyat seperti yang dicadangkan ini tanpa dihantui oleh momokan-momokan yang tidak berasas.

“Cipta sahaja dan anugerah RM10,000 untuk setiap keluarga yang kerosakan rumah.”

“Kepada siapa lagi rakyat harus berpaling kalau tidak kepada kerajaannya,” kata mereka mengulangi pendirian.

Susulan banjir yang melanda di beberapa buah negeri di Malaysia, kerajaan bersetuju memberikan bantuan wang ihsan banjir kepada mereka yang terjejas dengan bencana ini.

Jumlah bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau mereka yang tidak berpindah.

Manakala bantuan RM10,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa hadapi kematian akibat banjir (untuk setiap individu yang terkorban).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: