CEO Sunway Universiti Bidas Dorongan Maksiat Aplikasi Online
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education Group, Professor Dr. Elizabeth Lee membidas kenyataan sebuah syarikat yang mengeluarkan artikel “tidak bermoral” dimana ia menyenaraikan segolongan pelajar di Universiti Sunway sebagai paling ramai mempunyai sugar daddy.
Prof. Dr. Elizabeth mengatakan bahawa artikel tersebut adalah tidak adil dalam memberi sebuah gambaran yang buruk terhadap akhlak dan kesopanan pelajar mereka dan institusi pendidikan tinggi secara keseluruhannya.
“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bereputasi, kami berusaha untuk menanam dan berkongsi hasil yang positif dengan para pelajar kami, staff kami dan juga komuniti secara keseluruhannya. Gambaran oleh syarikat ini yang sama sekali tidak tepat terhadap para pelajar negara ini dan institusi pengajian tinggi lain yang dihormati telah menjejaskan usaha kolektif kami dalam membentuk warganegara yang baik dan membangun negara yang progresif.”
Melahirkan rasa kecewa, beliau mengatakan bahawa syarikat tersebut telah melakukan satu tindakan tidak bermoral dengan mengambil kesempatan terhadap minda-minda muda untuk keuntungan mereka sendiri.
“Kami mengecam usaha mereka yang mendorong para pelajar untuk ikut serta dalam melakukan maksiat, menormalisasikan tanggapan ini dan menyebabkan mereka mengabaikan kesan kesihatan mental akibat perkara ini.”
Justeru Dr Elizabeth menegaskan bahawa mereka lebih mengenali para pelajar Universiti Sunway berbanding pihak-pihak lain sekaligus menidakkan kenyataan artikel “tidak bermoral” itu.
“Kami lebih mengetahui berbanding sesiapapun bahawa para pelajar di Universiti Sunway tergolong dalam kalangan yang rajin berusaha dan berdedikasi, dan mereka berhak untuk mendapatkan yang terbaik, bukan pengiktiran negatif seperti apa yang digambarkan dalam artikel tersebut.”
Beliau juga memberi jaminan kepada para ibu bapa pelajar Universiti Sunway untuk sentiasa menyokong dan menolak sebarang gambaran negatif terhadap anak-anak mereka yang belajar di universiti itu.
“Bagi ibu bapa pelajar di Sunway, kami tetap bersama anda dan akan terus bersedia memberikan sokongan dan mengecam gambaran negatif terhadap anak-anak anda.”
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan menerusi data yang diperoleh daripada sebuah aplikasi pertemuan dalam talian telah mendedahkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia bagi jumlah ‘sugar daddy’.
Aplikasi itu menyediakan ruang bagi pengguna terutama golongan wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau ‘sugar baby’ dan majoritinya terdiri daripada kalangan pelajar universiti.
Sehubungan itu, Presiden Majlis Rundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri berharap semua pihak memandang serius penggunaan aplikasi sosial yang kemungkinan besar menyumbang kepada keruntuhan moral penuntut universiti di negara ini.
Ini kerana jika ia dibiarkan, kebejatan moral dalam kalangan mahasiswa akan menjadi lebih buruk.