Tempatan

Cemar Udara, Operasi Kilang Arang Dihentikan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SUNGAI PETANI, 10 Jun 2024 – Akibat gagal menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara, sebuah kilang yang menghasilkan produk arang briket (charcoal briquette) di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, dihentikan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) itu diambil mengikut Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berdasarkan aduan berkaitan masalah bau dan asap yang mengganggu kehidupan rutin penduduk.

Antara kawasan terjejas termasuk Ambangan Height, SP Height, SP Saujana dan Bintang Maya Residence di daerah Kuala Muda.

“Tindakan tersebut diambil bagi menghentikan operasi yang menyebabkan pencemaran udara dan pihak kilang telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan serta penambahbaikan bagi menangani masalah itu.”

“Kilang tersebut juga didapati tidak mempunyai Orang Yang Berwibawa (OYB) untuk menjalankan kerja pemantauan dan pengendalian kelengkapan kawalan pencemaran,” jelasnya.

Ujar Sharifah Zakiah, menerusi makluman orang awam, pencemaran sering berlaku pada awal pagi dan JAS Kedah melaksanakan Op Kabut pada 6 hingga 9 Jun bagi memantau aktiviti kilang-kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau.

Katanya, pemeriksaan dilakukan untuk mengenal pasti punca-punca yang berpotensi menghasilkan pelepasan bendasing ke udara dan keberkesanan sistem kawalan pencemaran udara bagi setiap kilang-kilang tersebut.

Tambah beliau, OYB perlu ditempatkan seperti dinyatakan di bawah Seksyen 49A(1) iaitu setiap premis industri hendaklah mempunyai seseorang yang telah diperakukan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar sebagai OYB bagi aktiviti yang melibatkan pengendalian kelengkapan kawalan pencemaran atau pengurusan buangan terjadual.

“OYB juga dapat menasihatkan pihak premis dalam aspek kawalan pencemaran kepada alam sekitar terutamanya pematuhan kendiri dan dapat mencegah berlakunya pencemaran yang lebih besar serta mengesan lebih awal sebarang kerosakan kepada kelengkapan kawalan pencemaran,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: