CelcomDigi Gabung, Milik Khazanah, Tapi Peranan Melayu Dikecilkan – Presiden PERKASA
KUALA LUMPUR, 22 Mac 2023 – CelcomDigi di bawah pemilikan Khazanah Berhad dilihat mengecilkan peranan kakitangan Melayu apabila hanya sebilangan daripada jawatan tertingginya dijawat oleh orang Melayu, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
“Digi ni tak silap saya company luar dan bergabung dengan Celcom. Celcom adalah GLC. Bila gabungan ini terlaksana dia dianggap satu gabungan yang agak besar membabitkan dua syarikat yang mempunyai kakitangan yang ramai dan juga dikuasai oleh Khazanah.”
BACA JUGA: Syed Saddiq Jangan Tunjuk Liberal Sangat – Ketua Penerangan PERKASA
BACA JUGA: Peluk Islam Dengan Kebenaran Bapa, Undang-Undang Negeri Perlis Selari Perlembagaan
BACA JUGA: Proklamasi Melayu Itu Sebagai Warning Card
“Gabungan ini dipanggil CelcomDigi Bhd. yang majoriti pegangan sahamnya adalah Khazanah Bhd.”
Dalam kenyataannya itu, beliau turut merujuk kepada CelcomDigi dan berkata, terdapat tujuh jabatan di dalam satu bahagian namun, hanya seorang sahaja orang Melayu sebagai Ketua Jabatan di mana selainnya adalah orang bukan Melayu.
“Dan jawatan-jawatan daripada manager, senior manager ke atas ini dimonopoli oleh bukan Melayu. Ini maknanya Celcom ditelan oleh Digi dari segi pengurusan,” katanya.
Jelasnya lagi, jawatan tertinggi seperti pengurus dan pengurus kanan difahamkan lebih banyak diberikan kepada kaum lain berbanding kaum Melayu.
Sehubungan itu, beliau menyeru UMNO, Bersatu, PUTRA serta parti-parti Melayu yang lain untuk membuka mata terhadap isu yang dibangkitkan itu.
“Kesian anak bangsa kita. Kenaikan pangkat dinafikan. Majoriti pegang senior-senior manager, jawatan penting bukan anak bangsa kita lagi dah,” ujarnya.
Beliau turut menyeru mana-mana wakil rakyat untuk menyuarakan perkara tersebut di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan bersidang tidak lama lagi.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyoal apakah tindakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy yang sebelum ini lantang bersuara berhubung pertikaian penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam terhadap isu ini.
“Majoriti penduduk negara ni ramai Melayu, kenapa diberi kepada kaum-kaum lain mengenai jawatan penting ini?” soalnya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menangani penguasaan perkhidmatan awam oleh satu komuniti etnik iaitu Melayu.