Cegah Scam: Jangan Layan Panggilan Tidak Dikenali
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 31 Ogos 2022 – Orang ramai diingatkan untuk tidak melayan panggilan yang tidak dikenali bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa scammer.
“Dahulu, kita lihat scammer ini menggunakan nombor telefon antarabangsa, namun, sekarang mereka sudah satu langkah ke hadapan dengan menggunakan nombor-nombor telefon tempatan, jadi apabila orang awam terima panggilan seperti itu ia nampak seperti ‘genuine’,” kata Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus.
Menurut beliau, selain daripada tidak melayan panggilan yang tidak dikenali itu, beliau juga menyarankan orang awam untuk memuat turun aplikasi yang dapat mengenal pasti serta memaklumkan dari mana datangnya panggilan tersebut.
Lantaran itu, pihak SKMM kini sedang berusaha mempertingkat kesedaran serta advokasi kepada orang awam tentang teknik-teknik penipuan yang selalu digunakan scammer.
Bukan itu sahaja, pihak SKMM juga sedang dalam perbincangan dan bakal bekerjasama dengan pihak-pihak perkhidmatan yang berkaitan bagi meningkatkan lagi mekanisme pertahanan dalam isu ini.
“Justeru, kita sedang bekerjasama rapat dengan semua agensi dan organisasi yang berkaitan,” katanya.