Tempatan

Cedera Fizikal & Mental, Mangsa Kemalangan Tren Rapid, Failkan Saman Berkumpulan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 Mac 2023 – Lapan mangsa yang terbabit dalam nahas Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dua tahun lalu, memfailkan saman sebanyak RM860,000 terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad atas dakwaan gagal serta cuai dalam memastikan keselamatan mereka sebagai penumpang hingga menyebabkan kecederaan.

Individu terbabit ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35.

BACA JUGA: PERHATIAN, Sibu Dijangka Dibadai Ribut Petir

BACA JUGA: Hujan & Ribut Petir Dijangka Langgar Beberapa Negeri 3 Hari Berturut-Turut

BACA JUGA: Hukuman Sebat Wajar Kekal, Laksana Secara Terbuka Di Khalayak Ramai

Saman difailkan mangsa berkenaan selaku plaintif menerusi Tetuan Vin Partnership yang menamakan dua pihak berkenaan sebagai defendan pertama dan kedua di Mahkamah Tinggi pada 9 Mac lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kesemua plaintif yang sebelum kejadian sihat tubuh badan dan mental berkata, mereka menaiki tren laluan LRT Kelana Jaya sebelum ia melanggar sebuah lagi tren antara Stesen LRT Kampung Baru dan Stesen LRT KLCC.

Mereka mendakwa kemalangan dan pelanggaran tren yang dinaiki berlaku akibat kecuaian daripada defendan pertama dan kedua sepenuhnya dan kesemua plaintif mengalami pelbagai kerugian selain kecederaan pada tubuh badan.

“Punca lain kejadian ialah tiada tindakan sewajarnya dan gagal menggunakan kemahiran teknikal dalam pengendalian dan pengawalan perkhidmatan LRT, selain tiada perhatian kepada keselamatan plaintif dan penumpang lain.”

Selain itu, plaintif turut mendakwa defendan gagal untuk mengambil kira kesusahan dan kecederaan yang dihadapi oleh penumpang yang cedera dalam kemalangan atau diperkecilkan keadaan sebenar hingga menyebabkan kesusahan, kemarahan dan penghinaan kepada plaintif.

“Selepas kemalangan itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana (ketika itu), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, membuat jenaka pada sidang media dengan berkata kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain. Tajuddin juga dilihat ketawa menurut video yang diterbitkan saluran televisyen,” katanya.

Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi am dan faedah di atasnya pada kadar lima peratus setahun dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman, serta ganti rugi khas dan faedah di atasnya pada kadar sama dari tarikh kemalangan hingga ke tarikh penghakiman.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu akan didengar di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohamad Hafizul Awang, pada 11 April depan

Pada 24 Mei 2021, kemalangan tersebut berlaku pada jam 8.45 malam apabila sebuah tren yang membawa penumpang bernombor 81 dan sebuah tren rosak bernombor 40 yang sedang dipandu uji bertembung mengakibatkan seramai 47 penumpang parah, manakala 166 lagi cedera.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: