Antarabangsa

CDC Beri Amaran Letusan Wabak Radang Selaput Otak Di Kalangan Gay

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

WASHINGTON, 02 Julai 2022 – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan Jabatan Kesihatan Florida dilaporkan sedang menyiasat “salah satu wabak penyakit meningokokus yang dikatakan paling teruk dalam kalangan lelaki gay dan biseksual dalam sejarah A.S”.

Wabak penyakit meningokokus ini akan menyebabkan jangkitan terhadap lapisan otak dan saraf tunjang serta jangkitan pada saluran darah. Ia bukan sekadar memberi kesan kepada sesiapa sahaja, malah ia boleh menyebabkan kematian.

CDC memaklumkan, sepanjang tempoh siasatan dilakukan, terdapat 26 kes dan 7 kematian yang berpunca dari wabak penyakit meningokokus. 24 kes dan 6 kematian daripada jumlah tersebut adalah golongan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jantina.

CDC menjelaskan wabak tersebut berlaku terutamanya dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, serta mereka yang menghidap penyakit HIV.

Satu kenyataan memberitahu, data terkini menunjukkan bahawa kira-kira separuh daripada kes yang dikaitkan dengan wabak ini adalah dalam kalangan lelaki Hispanik. Wabak ini bukan sahaja menjejaskan penduduk yang menetap di Florida malah, ia juga telah memberi kesan terhadap pelancong yang masuk ke Florida.

Penyakit ini boleh tersebar apabila bakteria merebak melalui rembesan pernafasan atau tekak, seperti air liur atau ludah. Ia biasanya memerlukan sentuhan rapat serta lama seperti bercium atau berada dekat dengan seseorang yang sedang batuk.

Gejala yang akan dialami seseorang pesakit adalah demam yang teruk, sakit kepala, kekejangan leher, loya atau muntah serta ruam berwarna ungu gelap, kata CDC. Walaupun pada awalnya pesakit mengalami gejala yang kelihatan seperti selesema, tetapi biasanya ia akan menjadi lebih teruk dengan cepat dan dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.

CDC menyarankan agar golongan yang disebutkan di atas mendapatkan vaksin meningokokus jika mereka ingin terus tinggal di Florida atau dapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan sebelum melancong ke negeri itu.

“Mendapatkan vaksin terhadap penyakit meningokokus adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit serius yang boleh membawa maut dengan cepat,” kata Dr José R. Romero, Pengarah Pusat Imunisasi dan Penyakit Pernafasan Kebangsaan dalam sebuah siaran berita CDC.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: