Tempatan

Semua Muslim Di Wilayah KL, Putrajaya & Labuan Boleh Pergi Solat Jemaah dan Solat Jumaat – JAWI

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUALA LUMPUR, 18 Mac 2021 – Muslim di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dibenarkan menunaikan solat jemaah dan solat Jumaat mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau bermula hari ini, demikian menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

“Masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenar mengadakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah dhuha dan sebagainya dengan penjarakan fizikal 1.5 m.”

Beliau memberitahu, ketetapan baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tambahnya, bilangan jemaah bagi solat Jumaat turut diperluas ke semua ruang sesuai di masjid, surau Jumaat dan surau diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 m.

Bagi aktiviti pengimarahan Ramadan, solat sunat Tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 m dan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek.

“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat Tarawih. Tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus daripada kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 m,” kata Datuk Mohd Ajib.

“Qiamullail boleh dilaksanakan 30 minit sebelum waktu imsak. Pembayaran zakat fitrah secara manual atau pembayaran terus kepada amil dibenarkan di samping pembayaran secara dalam talian atau kaedah yang ditetapkan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).”

Aktiviti jamuan berbuka puasa (iftar) dan moreh adalah tidak dibenarkan. Tetapi jawatankuasa kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas solat Tarawih untuk dibawa pulang jemaah.

“Kesemua ketetapan terbaharu itu tertakluk kepada garis panduan ditetapkan serta prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” ujar Datuk Mohd Ajib mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: