Tempatan

CAP Gesa Pihak Berkuasa Perkenalkan Akta Halal Haram

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 18 Mac 2022 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa memperkenalkan akta halal haram bagi memastikan pengeluar bertanggungjawab dalam pelabelan produk makanan sebagai halal.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kaher menyatakan gesaan tersebut sudah dibuat sejak 30 tahun lalu namun tidak banyak perkembangan yang berlaku dapat dilihat mengenai perkara berkenaan.

Bukan itu sahaja, penggubalan undang-undang dan pembentukan dasar telah diketepikan oleh pihak berkuasa selama bertahun-tahun.

“Pada masa ini beban bagi membuktikan status produk halal terletak pada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, banyak kes penyalahgunaan logo halal dilaporkan dan kes yang paling teruk terjadi adalah pada Disember 2020.

“Sebelum ini negara digemparkan dengan isu kartel yang didakwa merasuah pegawai kastam bagi mengimport dan menjual daging tidak disembelih menurut kaedah Islam atau diperolehi daripada pemegang taruh yang tidak diluluskan.”

“Malah individu yang mengendalikan kartel daging itu memberi rasuah kepada pegawai kanan kerajaan bagi membawa masuk daging yang tidak disahkan ke Malaysia dan melepaskannya sebagai produk yang disahkan sebagai halal.”

“Kartel itu mengimport daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina kemudian dibungkus semula di Johor. Ia termasuk kanggaru dan daging kuda yang dicampur dan dijual sebagai daging halal,” katanya.

Ujar beliau, keadaan ini telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna Islam dan dianggap sebagai satu pencabulan terhadap agama.

Difahamkan kartel berkenaan telah mengimport daging dari rumah sembelihan tidak halal dari beberapa negara dan telah beroperasi lebih 40 tahun.

Isu ini telah menyentuh dua aspek iaitu mengenai status halal dan rasuah yang membangkitkan persoalan besar mengenai keselamatan negara.

Oleh hal demikian, Mohideen merasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan memperkenalkan akta halal haram, dalam masa yang sama meminda akta dan undang-undang sedia ada melibatkan isu halal haram termasuk penggunaan perkataan haram pada produk atau makanan.

“Misalnya mengikut Akta Makanan, undang-undang mengenai pelabelan makanan perlu dipinda supaya dapat memastikan ramuan haram dinyatakan pada label dan jika bahan itu boleh diperoleh daripada beberapa sumber, maka pengeluar perlu menyatakan daripada sumber manakah ia diperolehi.”

Mengulas lanjut, perubahan ini akan meningkatkan permintaan produk halal Malaysia selaras dengan dasar kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pengeluar terbesar produk halal dunia sekaligus membantu pengguna Islam mengelakkan dari makanan dan produk yang mengandungi bahan meragukan atau haram.

Katanya lagi, akta ini akan memberikan lebih kuasa kepada pihak berkaitan dalam melaksanakan penyeliaan lebih ketat dan penguatkuasaan ke atas rantaian bekalan halal.

Selain akta itu, CAP juga berharap proses pensijilan halal dapat ditambah baik serta prosedur perolehan makanan disemak semula berikutan pendedahan skandal kartel daging.

Beliau turut mencadangkan agar semakan semula dilaksanakan pada sistem agensi penguatkuasaan dan perkembangan ternakan serta menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menangani skandal kartel daging di mana semua yang terbabit perlu didakwa dan menerima hukuman lebih berat.

Leave a Reply

Back to top button