Tempatan

CAP Gesa Batal Projek Kereta Kabel Pulau Pinang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

 GEORGETOWN, 20 Disember 2022 – Kerajaan negeri tidak seharusnya meneruskan projek kereta kabel di Bukit Bendera, gesa Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Projek tersebut yang bakal menghubungkan Taman Botani Pulau Pinang dengan puncak Bukit Bendera dipercayai akan memberi impak serius kepada alam sekitar dan kesihatan.

Menurut beliau, persediaan projek itu akan membawa kepada pembinaan hotel, restoran, rumah, jalan raya dan taman tema bagi menampung peningkatan jumlah pelancong dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Pembangunan sebegini akan memberi impak buruk kepada persekitaran bukit yang rapuh dan membahayakan keseimbangan ekologi,” tegas Mohideen.

Lebih membimbangkan, Bukit Bendera akan kehilangan litupan hutan dan pencemaran sungai di atas bukit pasti berlaku. Ia juga akan mengakibatkan pengurangan habitat sekali gus menyebabkan kepupusan tumbuhan, haiwan, burung dan serangga bernilai.

“Kesannya juga akan menyebabkan hakisan tanah, cerun tanah terdegradasi dan peningkatan tanah runtuh.”

Beliau turut mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil pengajaran daripada tragedi ribut dan banjir yang melanda negeri itu beberapa tahun lalu, yang menyebabkan tanah runtuh besar-besaran, menumbangkan banyak pokok dan memutuskan komunikasi di atas bukit berkenaan.

Dalam pada itu, lebih 5,000 pelancong mendaki bukit tersebut dan rekod berkenaan sudah melebihi daya tampung Bukit Bendera. Pertambahan bilangan pelancong akan meningkatkan lagi penggunaan sumber seperti air, makanan, tenaga dan pengeluaran sisa.

“Sisa boleh menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem bukit kerana bukit itu tidak mempunyai kemudahan pembuangan kumbahan dan sisa mencukupi untuk mengendalikan sisa sejumlah besar penampung dan penduduk,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Mohideen berpendapat, kesejahteraan rakyat dan integriti alam sekitar tidak seharusnya dikorbankan di atas altar wang pelancong.

Terdahulu, Hartasuma Sdn Bhd, perintis dalam industri rel tempatan telah memenangi bidaan projek kereta kabel Bukit Bendera dengan anggaran pelaburan kira-kira RM245 juta. Projek itu dijangka akan beroperasi selepas tiga tahun pembinaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: