Tempatan

Caj RM1.30 Upah Potong Ayam Cekik Darah – Pengguna

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 08 November 2022 – “Bagi saya harga maksimum RM9.40 bagi sekilogram ayam dah mahal, ditambah pula dengan caj upah RM1.30, macam cekik darah pula, sedangkan gaji naik sikit saja,” luah seorang pembeli, Shahnomri Mohd Nor.

Shahnomri yang juga kakitangan Kerajaan meluahkan ketidaksetujuannya terhadap caj pemotongan ayam yang dikenakan kerana ia membebankan pengguna sedangkan gaji masih di tahap minimum.

“Saya pun tidak perasan ada caj potong kerana peniaga tidak maklumkan, sepatutnya mereka perlu jujur kepada pelanggan,” ujarnya yang membeli bekalan ayan setiap minggu di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang.

Lapor sebuah portal berita tempatan, caj tersebut yang dikenakan sejak awal bulan ini turut mengalami peningkatan sebanyak RM0.50 sen berbanding RM0.80 sebelum ini yang dikenakan peniaga sejak Jun lalu sewaktu ayam standard berharga RM8.90.

Bagaimanapun, seorang peniaga menegaskan bahawa caj upah potong yang dikenakan adalah untuk menampung kerugian susulan harga yang dikenakan pemborong melebihi harga siling.

“Bekalan ayam dari pemborong kami dapat pada harga antara RM9.40 hingga RM9.50 sekilogram. Takkan kami nak jual harga modal, apa untung kami dapat?”

Tambahnya lagi, peniaga terpaksa bertindak sedemikian demi mendapatkan sedikit keuntungan selain mengelakkan dari dikenakan tindakan sekiranya menjual melebihi harga siling.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar mengatakan bahawa pihaknya telah pun mengeluarkan notis kepada 25 peniaga yang ayam di pasar terbabit pada minggu lalu susulan caj servis tambahan RM1.30 yang dikenakan.

“Kita akan siasat punca caj itu daripada penternak atau pemborong kerana ada kala peniaga dapat bekalan ayam mahal dari orang tengah,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: