Cadangan Penubuhan Kasino Perlu Dibahaskan Di DUN – Adam Yii
MIRI, 30 April 2023 – Cadangan penubuhan kasino di Sarawak perlu dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang, kata ADUN Pujut, Adam Yii.
Katanya, kendatipun Setiausaha Publisiti dan Penerangan Pusat SUPP serta keluarganya tidak akan mengesyorkan orang lain untuk berjudi, namun faedah ekonomi daripada industri berkenaan tidak boleh diabaikan.
Tambahnya, selain daripada peningkatan ekonomi kasino termasuk peluang perniagaan dan pelaburan untuk negeri itu, beliau turut mengharapkan perkembangan masa depan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Beliau yang juga Datuk Bandar Miri turut percaya bahawa penubuhan kasino itu juga boleh merancakkan lagi industri perhotelan dan pelancongan malah dalam masa yang sama membuka peluang pekerjaan.
BACA JUGA: Isu Sparkling Wine Ada Sijil Halal, JAKIM Beri Penjelasan
BACA JUGA: Dua Kanak-Kanak Meninggal Disyaki Akibat Strok Haba
BACA JUGA: PIBG Nasional Sokong Pemakaian Semula Pelitup Muka
Dalam pada itu, beliau turut mengulas berhubung bantahan Pesuruhjaya Bahagian Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak, Jofri Jaraiee terhadap penubuhan kasino itu yang didakwa boleh membawa kepada gejala sosial.
Menurutnya, “Alasan yang diberikan oleh Joffri Jaraiee dari PAS terhadap pembukaan kasino di negeri ini melanggar objektif pembangunan masyarakat Sarawak yang pelbagai.”
Tegas Yii, PAS telah berulang kali kalah dalam pilihan raya yang diadakan di Sarawak dan ia sekali gus menandakan penolakan rakyat terhadap semua bentuk ekstremisme kaum dan agama.
“Oleh itu, jika PAS tidak berpuas hati, mereka boleh berundur sepenuhnya daripada arena politik Sarawak dan menghilang, kerana rakyat Sarawak telah menyatakan dengan jelas melalui undi mereka bahawa mereka tidak mengalu-alukan PAS,” katanya.
Sebelum ini, samudera.my melaporkan, PAS Sarawak membantah cadangan pembukaan kasino di Sarawak kerana didakwa ia akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan kepada rakyat.