Tempatan

Bunuh Diri: Apakah Penyelesaiannya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Pada tahun 2021, dilaporkan bahawa peningkatan kes bunuh diri di negara ini adalah sebanyak 143 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan bilangan kes bunuh diri yang dilaporkan dari Januari sehingga Julai 2021 adalah sebanyak 638 kes berbanding 262 kes sahaja pada tahun 2020.

Bukan sahaja Malaysia yang mencatatkan peningkatan kes bunuh diri sewaktu pandemik malahan perkara yang sama juga turut berlaku di seluruh dunia.

Kes-kes bunuh diri adalah sesuatu yang telah dipandang serius sebagai salah sebuah ancaman kesihatan walaupun sebelum berlakunya pandemik lagi.

Menurut laman web World Population Review, antara negara yang mencatatkan kes bunuh diri paling tinggi sehingga tahun 2019 adalah Lesotho, Guyana serta Eswatini, yang mana ketiga-tiga negara ini adalah dari benua Afrika dan diikuti oleh Korea Selatan.

Laman web Science ABC pula menyatakan bahawa Greenland adalah negara yang mempunyai kadar bunuh diri tertinggi terutamanya dalam kalangan orang muda.

Terdapat beberapa kajian yang menjelaskan tentang sebab kes bunuh diri yang tinggi di Greenland. Sebab yang utama yang sering diperkatakan adalah mengenai modernisasi dan urbanisasi Greenland itu sendiri.

Ini kerana ramai penduduk yang berhijrah ke bandar-bandar dan mengalami kesukaran dalam berasimilasi dan menyebabkan mereka terasa disisihkan dan kehilangan identiti.

Ini telah menatijahkan kepada kecenderungan untuk mengambil minuman keras yang menjadi penyebab kepada pengabaian serta penderaan kanak-kanak yang mana ianya merupakan antara faktor tertinggi bagi kejadian bunuh diri.

Di benua Afrika pula, seorang profesor Sejarah dan Kesihatan Afrika di Univesity Collage London menyatakan bahawa pergolakan sosial merupakan sebab bagi kadar kes bunuh diri yang tinggi di benua tersebut.

Menurutnya, “…kehidupan berubah dengan cepat, termasuklah di Afrika. Urbanisasi berlaku dengan sangat pantas. Rakyat tidak lagi tinggal dalam struktur (kemasyarakatan) kekampungan dan pertalian kekeluargaan.”

Terdapat juga kajian yang menyatakan faktor-faktor umum bagi kes-kes bunuh diri di benua Afrika, ini termasuklah masalah pergaulan, masalah kesihatan mental dan fizikal, masalah sosioekonomi serta penggunaan atau penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Manakala di Korea Selatan, menurut sebuah kajian yang diterbitkan oleh BMC Public Health pada tahun 2022, antara faktor utama yang menyebabkan kes-kes bunuh diri yang tinggi di negara tersebut adalah tahap serta nilai sosioekonomi yang rendah, diikuti oleh kadar pengasingan diri yang tinggi, kekurangan aktiviti agama dan fizikal serta kelaziman merokok.

Di Malaysia, purata kes bunuh diri yang berlaku dari tahun 2017 hingga 2019 adalah yang kedua tertinggi jika dibandingkan dengan negara-negara Muslim di Timur Tengah dan Indonesia. Walau bagaimanapun, kes-kes bunuh diri tertinggi adalah dari bangsa India dan Cina yang mana agama yang mereka anuti adalah Hindu, Buddha dan Kristian.

Tiga faktor utama bagi kes-kes bunuh diri di Malaysia adalah masalah kewangan, tekanan emosi dan juga masalah keluarga.

Berkenaan dengan usaha untuk mencegah rakyat dari membunuh diri, Greenland telah mewujudkan program-program yang berkonsepkan kaunseling, kempen kesedaran dan program bersifat mentoring melalui badan seperti SAAFIK dan program-program seperti The School Fairy System (sokongan sosial), TIMI ASIMI Project (kegiatan outdoor) dan Sapiik (projek berkonsepkan mentoring).

Selain itu, Kementerian Kesihatan mereka juga telah menyediakan strategi kebangsaan dalam mencegah kejadian bunuh diri di Greenland bagi tahun 2013-2019.

Manakala di benua Afrika, negara-negara seperti Ghana, Botswana, Burundi, Comoros, Congo, Eritrea, Ethiopia, Guinea dan Senegal tidak melihat bunuh diri ini sebagai masalah kesihatan awam yang serius. Justeru, negara-negara ini tidak menyediakan usaha pada peringkat kebangsaan bagi mencegah kejadian bunuh diri.

Manakala negara-negara seperti Cape Verde, Kenya, Losotho, Madagascar, Mozambique dan Afrika Selatan, mereka melihat bunuh diri sebagai masalah kesihatan awam yang serius. Namun, mereka tetap tidak mempunyai usaha di peringkat kebangsaan dalam pencegahan bunuh diri.

Dilaporkan bahawa kekurangan komitmen dari pihak pemerintah negara-negara di benua Afrika dalam menambah baik perkhidmatan kesihatan mental adalah kerana beban hutang negara mereka yang terlalu tinggi.

Di Korea Selatan pula, terdapat perkhidmatan yang mempromosikan kesihatan mental yang disediakan dalam usaha menghalang rakyatnya dari membunuh diri. Ini termasuklah penjagaan penyakit di institusi kesihatan, rehabilitasi psiko-sosial dalam kelompok masyarakat serta sokongan kediaman, kerjaya dan ekonomi.

Pada tahun 2019, terdapat sekitar 42 pusat bagi mencegah bunuh diri dan empat pusat trauma yang disediakan. Korea Selatan juga sedang berusaha dalam pembangunan teknologi dalam menghalang bunuh diri dan ketagihan alkohol.

Di Malaysia, langkah pencegahan bunuh diri telah disertakan ke dalam Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kesihatan Mental (2021-2025). Petugas kesihatan barisan hadapan, para pendidik dan masyarakat umum telah diberikan latihan hasil kerjasama badan-badan tempatan baik dari pihak awam dan swasta juga pihak antarabangsa, NGO dan kumpulan-kumpulan advokasi pesakit di peringkat negeri dan kebangsaan.

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama beberapa pihak berkepentingan sedang dalam proses membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan, yang mana data mengenai bunuh diri di negara ini akan dapat dilaporkan dengan terperinci agar dapat membantu dalam memperkukuhkan usaha pembangunan polisi serta program berkaitan pencegahan bunuh diri.

Secara umumnya, sejak sekitar 10 tahun yang lalu, sudah terdapat perkembangan yang progresif dalam mengutamakan pencegahan bunuh diri di peringkat antarabangsa, terutamanya dari Pertubuhan Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan-kerajaan dari pelbagai negara.

Perkembangan mengenai hal ini juga telah berlaku dengan signifikan sejak dari dua dekad yang lalu apabila Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia mula diperkenalkan pada 10 September 2003, yang mana ianya telah membantu dalam menyebarluaskan kesedaran umum mengenai perihal bunuh diri dan pencegahan bunuh diri di serata dunia.

10 tahun setelah wujudnya Hari Bunuh Diri Sedunia, WHO telah memulakan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Sedunia 2013-2020 yang mana ianya merupakan satu langkah penting dalam memastikan kejayaan agenda pencegahan bunuh diri sedunia.

Pelan tersebut telah digunakan oleh para Menteri Kesihatan dari kesemua 194 negara anggota dalam mengiktiraf kepentingan kesihatan mental.

Pelan tindakan tersebut meliputi beberapa tindakan khusus dalam menambah baik tahap kesihatan mental dan dalam menyumbang kepada sasaran global yang dipersetujui iaitu peningkatan 20% dalam capaian perkhidmatan bagi penyakit mental yang teruk serta 10% pengurangan kadar bunuh diri bagi negara-negara ahli menjelang 2020.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: