Tempatan

Buku Teks Buang Alergik Terhadap Komunis – Fatini

KUALA LUMPUR – “Naratif sejarah sedang diubah dan indoktrin pemikiran sedang dicanai supaya generasi muda tidak alergik dengan golongan komunis atau pro-komunis. Ini antara sebab utama mengapa Buku Teks Tingkatan 4 perlu segera diharamkan,” kata Wakil Sekretariat Gabungan NGO Menolak Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 (SGMBST4), Puan Seri Fatini Yaakob.

Beliau berkata pihaknya telah mengenalpasti kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM yang jelas mengandungi unsur-unsur fakta yang telah dimanipulasikan dan telah dimasukkan elemen Malaysian Malaysia dalam isi kandungannya.

Menurutnya, ini ialah usaha pihak-pihak tertentu yang cuba mengagung-agungkan pihak komunis agar masyarakat mengiktiraf mereka sebagai pejuang kemerdekaan.

“Fakta-fakta yang didedahkan dalam buku teks ini adalah maklumat sejarah palsu bertujuan untuk mencuci pemikiran pelajar daripada sejarah yang sebenar.”

Ujar beliau, selain mempunyai unsur hasutan yang boleh membawa kepada ketidakharmonian dalam negara dan memecahbelahkan hubungan baik antara kaum, ia dikatakan sebagai persediaan untuk mereka memerintah jika berpeluang kelak.

Beliau berkata, buku ini diterbitkan pada tahun 2019 dan sudah 2 tahun ia digunapakai tanpa disedari oleh pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Puan Seri Fatini, elemen buku ini sememangnya akan mempengaruhi ideologi pelajar dan isi kandungan serta cara penulisan yang dilakukan adalah bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran pelajar supaya menganggap golongan nasionalis radikal dan komunis adalah pejuang-pejuang negara.

“Golongan selain daripada itu tidak penting dan tidak memberi sumbangan yang bermakna kepada perjuangan kemerdekaan negara ini,” katanya.

Pihaknya berpendapat, sekiranya pelajar benar-benar terpengaruh dengan ideologi-ideologi kiri, radikal, sosialis dan komunis dalam buku tersebut maka, ia akan mengubah kebenaran sejarah negara dan melahirkan generasi yang sesat daripada kebenaran sejarah negara ini.

“Ini merupakan angan-angan dan persediaan awal untuk mereka berkuasa,” tambahnya.

Menurut Puan Seri Fatini lagi, sudah tentu pihak berhaluan kiri, sosialis dan komunis akan menuduh pihak yang membantah buku ini sebagai cuba mengaburi sejarah sebenar.

“Sudah tentu pihak berhaluan kiri, sosialis dan komunis akan menuduh kita cuba mengaburi sejarah sebenar apabila kita berusaha membetulkan semula fakta yang diseleweng oleh mereka melalui buku teks ini.”

Tegas beliau, sejarah sebenar negara telah pun ditulis oleh pakar-pakar sejarah Malaysia termasuk mendiang Profesor Khoo Khay Kim.

Malah, tidak ada siapa pun sarjana di Barat atau Timur, tempatan atau antarabangsa yang menidakkan naratif sejarah negara ini yang berteraskan Melayu dan Islam.

“Mana-mana pihak yang menuduh naratif sejarah negara ini yang berteraskan Melayu atau menuduh naratif ini mengaburi sejarah sebenar adalah golongan yang menabur fitnah dan berkepentingan,” katanya.

Ditanya bagaimana pihaknya menyedari fakta sejarah palsu wujud dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4 ini, beliau berkata hal ini terbongkar apabila beliau membaca, meneliti dan membuat kajian terperinci bersama pakar sejarah Malaysia iaitu Profesor Datuk Ramlah Adam, Profesor Malik Munip, dan Dr Khaldun Malik.

Susulan itu, pihaknya iaitu SGMBST4 telah pun menghantar memorandum meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengharamkan buku itu dan menarik balik buku itu daripada sekolah.

NGO gabungan ini juga turut bertemu dengan Bahagian Buku Teks untuk pengesahan maklumat dan hal yang berkaitan.

“Malah, bukan sahaja KPM, kita juga telah berjumpa Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyidin Yassin secara peribadi dan menyerahkan memorandum meminta kerajaan mengharamkan buku ini dengan segera.”

Persoalannya, tidakkah pihak KPM sendiri menyedari perihal isi kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 ini mengandungi fakta menyeleweng? Bukankah sepatutnya ada tapisan tertentu supaya buku ini mengikut standard dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sebelum diterbit dan digunakan?

Puan Seri Fatini menjawab, perkara itu di luar pengetahuan pihaknya dan turut menjadi tanda tanya mengapa pihak KPM boleh tidak peka dengan isi kandungan buku ini.

“Mungkin juga berlaku sesuatu yang tidak seperti biasa dalam pengurusan buku teks ini pada masa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

“Apa yang jelas, saya tidak mewakili diri saya secara peribadi dalam hal ini. Kami adalah gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membuat kajian bersama pakar sejarah Malaysia.”

“Jadi, kami semua sepakat mengatakan buku ini patut diharamkan dan ditarik semula daripada sekolah,” tegas beliau.

Menurutnya, sudah ada beberapa badan gabungan NGO sedang mengatur hari untuk membuat beberapa lagi siri laporan polis sehinggalah tindakan tegas diambil kepada pihak yang terbabit termasuklah yang menulis atau menerbitkan buku teks ini secara tidak bermoral.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button