Tempatan

YDPA Titah Semua Pihak Supaya Sentiasa Siap Sedia Menghadapi Kemungkinan Banjir Besar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2021 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini, untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya urusan pasca banjir.

Menzahirkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan rakyat, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan rakyat, khususnya di negeri Pantai Timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar, akibat hujan lebat berterusan.

Titah Seri Paduka Baginda itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga Ahad ini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, kelmarin.

Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir pada tahap terbaik.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan dan keyakinan menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka yang berada di kawasan kepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang dikeluarkan serta sentiasa berwaspada, sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing, demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

“Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: