NGO

Bukan Pendidikan Islam Bermasalah, Tetapi Sekolah Daif Sejak Zaman Tun M Punca Masalah – Presiden ISMA

Saya amat kecewa dengan pandangan Tun Dr Mahathir mengenai Pendidikan Islam di sekolah ini. Beliau mendakwa pendidikan Islam kononnya menjadi masalah kepada sistem pendidikan kita sekarang.

Pertama, Tun menyebut pendidikan Islam tidak membantu ke arah kemajuan dari segi sains dan teknologi buat negara, atau tidak berguna untuk mendapat pekerjaan. Ini satu sisi pandang yang sangat menyedihkan tentang pendidikan ataupun ilmu.

Pendidikan atau ilmu bukanlah untuk mendapatkan pekerjaan semata-mata. Banyak lagi kegunaan ilmu, terutamanya dalam membentuk keperibadian dan personaliti. Inilah masalah yang perlu kita tambahbaik, pendidikan dan ilmu seharusnya ke arah perbentukan holistik; segenap aspek. Itulah asas kepada pembinaan sebuah tamadun dan peradaban yang hebat.

Kejayaan pembangunan tamadun manusia tidak hanya bergantung pada Sains dan Teknologi semata-mata tetapi sejauh manakah manusia boleh membawa kemajuan itu ke arah kesejahteraan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kita sudah saksikan bagaimana Barat maju dari segi Sains dan Teknologi tetapi pada masa yang sama hancur nilai kemanusiaan dan akhirnya gagal mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan.

Jika menggunakan logik yang sama yang digunakan oleh Tun, maka banyaklah perkara yang tidak boleh dibuat di sekolah. Jangan ada sukan, jangan ada badan beruniform, jangan ada ini dan itu, kerana ianya tidak boleh digunakan untuk dapat kerja jurutera, doktor dan sebagainya.
Kedua, Tun ada menyebut pendidikan Islam adalah faktor utama mengapa bukan Melayu tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan. Ini juga satu lagi dakwaan yang dangkal.

Mengapakah Pendidikan Islam dipersalahkan pula? Pendidikan Islam hanya diajar kepada murid-murid beragama Islam manakala yang bukan Islam diajar pendidikan moral. Jika Pendidikan Islam dikatakan buang masa kerana tidak boleh dapatkan kerja, pendidikan moral bagaimana pula?

Banyak lagi faktor lain yang terlalu ketara, bercakaplah menggunakan fakta. Sebagai contoh, kemudahan dan keselesaan sekolah-sekolah kerajaan. Itu adalah ‘concern’ yang ‘valid’ dan saya rasa itulah yang perlu ditekankan.

Dari zaman Tun jadi Menteri Pendidikan, sampailah jadi Perdana Menteri kali ke-2, masalah kedaifan sekolah kerajaan ini tidak pernah selesai atau sekurang-kurangnya dipandang serius. Tiba-tiba, Pendidikan Islam pula dipersalahkannya?

Lebih ironinya lagi, penemuramah bertanyakan tentang konteks antara sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular. Sepatutnya secara automatiknya akan terlintas mengenai isu kemudahan dan keselesaan.

Bercakap mengenai kemudahan, saya teringat bagaimana sekolah-sekolah vernakular khususnya sekolah swasta mendapat peruntukan dana jutaan ringgit yang luar biasa ketika Tun menjadi Perdana Menteri pada zaman PH. Siapa tak mahu pergi sekolah mewah serba selesa yang didanai oleh kerajaan sebegini?

Saya secara jujurnya berpendapat bahawa kini, Pendidikan Islam di sekolah tidak mencukupi pun lagi; pada tahap memadai sahaja. Bayangkan, dengan Pendidikan Islam yang ada di sekolah seperti sekarang ini pun ramai yang masih tidak benar-benar memahami agamanya, apatah lagi jika tiada langsung. Janganlah hapus atau dikurangkan pula.
Isu sosial dalam kalangan remaja dan gejala rasuah kolar putih terutamanya yang beragama Islam yang berlaku pada hari ini berpunca dari kegagalan menghayati nilai Islam walaupun mereka berjaya dalam kerjaya.

Punyalah ramai teknokrat Muslim yang warak di Malaysia ini, dan mereka itulah model seorang individu Muslim kita. Bukannya berjaya dalam kerjaya tapi rasuah. Atau berjaya dalam kerjaya tetapi rosak akhlak dan pedoman agama.

Kerapkali saya merantau ke negara-negara luar terutamanya negara barat, dan bertemu dengan komuniti Muslim di sana. Mereka tiada Pendidikan Islam di sekolah. Apa yang ada hanyalah sikit-sikit di masjid-masjid. Mereka selalu berkata, anak-anak Malaysia beruntung kerana dapat membesar mengenal agamanya sejak di bangku sekolah lagi.

Nikmat apakah yang mahu kita dustakan lagi?

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA
11 Februari 2021

Sumber:
https://www.freemalaysiatoday.com/…/rise-of-religion…/

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button