NGO

Buka Sekolah: Keputusan KPM Perlu Selaras Dengan KKM – NAJM

KENYATAAN MEDIA

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus selaras dengan Langkah Pencegahan dan Pembendungan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Kuala Lumpur, 23 Februari 2021 – Pihak Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia (AKKMA) atau National Alliance for Justice Malaysia (NAJM) mengambil maklum akan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka semula sesi persekolahan bagi sekolah rendah pada 1 Mac & 8 Mac ini dan 4 & 5 April bagi pelajar sekolah menengah.

Kami menggesa supaya keputusan berkenaan sesi persekolahan dan dasar-dasar pelajaran yang dibuat sepanjang tempoh pandemik ini hendaklah mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai kepakaran dalam menilai situasi pandemik ini.

Dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar tersebut, keputusan KPM ini boleh meningkatkan penyebaran dan kebolehjangkitan virus Covid-19 ini pada bulan-bulan yang akan datang apabila ratusan ribu pelajar memulakan sesi persekolahan pada Mac ini. Pengumuman KPM ini amat membimbangkan semua pihak apabila KKM sendiri melalui Ketua Pengarahnya Tan Sri Dato Dr Noor Hisham juga meramalkan bahawa jumlah jangkitan Covid-19 ini dijangka mencecah 20 ribu orang sehari pada bulan Mac yang akan datang.

KPM digesa supaya mengambil kira program imunisasi dan vaksinasi yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini sebelum membuat sebarang keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan. Kami menyarankan supaya sesi persekolahan dibuka setelah program vaksinasi tersebut dilaksanakan dan vaksin tersebut dibuktikan berkesan dalam mengawal wabak yang mengancam nyawa ini.

Seterusnya, kami yakin dan percaya bahawa keputusan KPM ini juga telah dibuat secara notis singkat (short notice) memandangkan persediaan untuk pembelajaran digital di rumah telah disediakan oleh ibu bapa. Kos untuk penyediaan PdPR ini juga dilaporkan sangat membebankan sehingga menyebabkan terdapat ibu bapa yang terpaksa menangguhkan pembelian peralatan sekolah untuk membeli gajet untuk kemudahan PdPR tersebut. Sekiranya sesi persekolahan akan bermula seawal Mac ini, ibu bapa juga dilihat tidak mempunyai persediaan yang cukup untuk membeli peralatan sekolah anak-anak mereka berikutan notis singkat yang diberikan oleh KPM.

Keputusan secara sela menyela (flip flop) oleh KPM ini telah membebankan semua pihak terutamanya ibu bapa yang diberhentikan kerja atau mengalami kemerosotan pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah berlangsung hampir setahun. Dengan keputusan yang diambil secara tergesa-gesa dan notis singkat ini, KPM boleh dilihat sebagai sebuah kementerian yang kurang efisyen dan kompeten dalam menguruskan dasar pendidikan negara di era pandemik Covid-19 ini.

Sekiranya KPM bertegas dengan keputusan untuk memulakan sesi persekolahan Mac ini, dengan mengambil kira tempoh darurat yang sedang berlangsung, kami menyarankan supaya KPM melonggarkan peraturan persekolahan dengan memberi kebenaran kepada pelajar untuk tidak mengenakan uniform sekolah untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa selain memendekkan waktu persekolahan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus berbahaya ini.

Sungguhpun demikian, dengan meletakkan kepentingan keselamatan dan kesihatan ratusan ribu pelajar sebagai keutamaan, kami amat berharap supaya sesi persekolahan ditangguhkan dan pembelajaran digital terus diperkasakan sehinggalah KKM memberi jaminan bahawa keadaan adalah selamat untuk pelajar-pelajar ini meneruskan sesi pembelajaran mereka di sekolah.

Dato Julita
Pengasas NAJM

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button