Bubar Parlimen? Perutusan Khas PM Petang Ini
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2022 – Perdana Menteri Dato’Sri Ismail Sabri akan mengadakan perutusan khas hari ini pada jam 3 petang.
Tidak diketahui pengumuman itu mengenai apa namun desas desus
percaya ianya ada kaitan dengan pembubaran Parlimen.
Dalam laporan berlainan, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa akan ada pengumuman penting dibuat Kerajaan hari ini.
“Saya pasti bahawa Perdana Menteri yang mempunyai kuasa menasihati Agong sudah melaksanakan tugasnya. Saya fikir bila pun pembubaran itu diumumkan, kami dalam BN sentiasa bersiap siaga,” ujarnya seperti dilaporkan portal berita tempatan hari ini.
“Bila pun tarikh yang akan diumumkan, jika pun ia dibubarkan pada hari ini, kami sedia untuk menangkan calon Barisan Nasional. Apa pun yang akan diumumkan personaliti yang berada di luar dari kami ini nanti, tidak akan menenggelamkan (berita) dari kami,” katanya lagi.
Semalam, portal tempatan berbahasa Inggeris melaporkan bahawa Dato’ Sri Ismail Sabri datang menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara tanpa disedari oleh pihak media yang kebanyakannya menumpukan kepada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).
Permohonan untuk pertemuan itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.