Tempatan

BSD Nafikan Hak Demokrasi Rakyat & Merbahaya – Lukman Sheriff

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 September 2022 – Contoh ketara kepada masalah Basic Structure Doctrine ini ialah bagaimana Mahkamah telah membelakangkan pindaan Perlembagaan 121 (1) yang digubal bersama 121 (1A) pada tahun 1998. Peguam, Lukman Sheriff menjelaskan dalam hantaran terbaru akaun Facebooknya mengenai bahaya Doktrin Basic Structure import yang sedang menguasai pemikiran dan pendekatan peringkat tertinggi cabang judisiari negara.

“Mahkamah sudah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tinggi dari Syariah dan ini asas Perlembagaan. Maknanya selama-lamanya Mahkamah Syariah tidak boleh dipertingkatkan setaraf Mahkamah Sivil walaupun semua mahu dan Agong bersetuju. Ini sebenarnya domain rakyat menentukannya sebelum ini (seperti Pindaan Perlembagaan 1988) tetapi BSD menidakkan kuasa ini,” jelasnya dengan lebih lanjut mengenai isu ini.

“Adakah ini bahaya? Ya. Akan berlaku pertembungan jika hak rakyat dinafikan. Keseimbangan dalam pengasingan kuasa dikacau memberi kuasa lebih tinggi kepada kehakiman dari badan lain tanpa semak imbang. Ia menidakkan hak demokrasi rakyat.”

Beliau berpandangan, isu ini menjadi satu masalah apabila mahkamah yang menentukan BSD kerana asas sesebuah Perlembagaan itu ditentukan oleh hakim dan kemudian mereka juga yang akan menidakkan hak untuk mengubahnya di Parlimen.

“Inilah sebabnya dibantah. Tiada semak imbang. Mengubah pengasingan kuasa kita dengan menjadikan kehakiman supreme mengatasi Parlimen. Tiada siapa dan forum yang boleh pertikaikan ketetapan ini lagi kecuali melalui badan kehakiman yang sudah memutuskan mempertahankan BSD.”

Peguam itu yang juga Pengerusi Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA) berkata, hal ini akan memberi masalah ketara seperti mahkamah yang telah membelakangkan Pindaan Perlembagaan 121 (1) yang digubal bersama 121 (1A) pada tahun 1988.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, Perlembagaan boleh jadi tidak mempunyai struktur asas tetapi perkara itu boleh diserahkan kepada Parlimen untuk menentukannya. Dan jika tidak bersetuju mahupun tidak suka, masyarakat boleh meluahkan perasaan kepada wakil-wakil rakyat yang pada akhirnya akan membuang mereka.

“Tetapi hakim kita tiada avenue/ruang berbuat begitu. Hakim-hakim tidak bertanggungjawab kepada kita.”

Beliau membangkitkan persoalan tentang bagaimana pula jika Parlimen tidak melaksanakan undang-undang struktur asas. Baginya perkara itu tidak menjadi masalah. Menurut beliau, Perlembagaan negara ini mempunyai peruntukan yang jelas. Sebelum BSD, tiada masalah menginterpretasi undang-undang mengikut cara-cara tafsiran sedia ada.

“Kita boleh aje interpret mengikut “letters of the law,” jawab peguam tersebut yang menolak BSD ini dengan tegas.

“BSD ini memungkinkan kehakiman mengatasi apa yang diperuntukkan dengan nyata dalam undang-undang,” ujar beliau menutup hantaran berkenaan BSD kali ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: